29 Jun 2011

QADHA’ PUASA


(A).Bagaimanakah pembayaran bagi puasa yang tidak dapat
ditunaikan di dalam bulan Ramadan?


Hukum pembayaran puasa terbahagi kepada beberapa bahagian:

1. Wajib Qadha’

- Orang yang sedang sakit dan sakitnya akan memberi mudarat kepadanya
atau bertambah lambat sembuhnya jika dia berpuasa

- Orang yang meninggalkan puasa sewaktu belayar atau bermusafir kira-kira
84 km

- Ibu yang hamil atau menyusukan anak dan khuatir dirinya menjadi
mudarat

- Orang yang sedang haid atau nifas

- Orang yang terlalu lapar atau dahaga yang boleh memusnahkan dirinya

- Orang yang batal puasanya kerana salah satu sebab yang
membatalkannya.

2. Wajib Qadha’ dan Membayar Fidyah

- Ibu yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya si ibu hanya khuatir
anaknya menjadi mudarat

- Orang yang berhutang puasa yang belum dijelaskan sehingga bertemu
dengan Ramadan yang lain

3. Tidak Wajib Qadha’ Tetapi Wajib Fidyah
- Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh
sangat tipis

- Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk
Berpuasa

(B). Adakah niat puasa sunat enam hari bulan Syawal boleh
disekalikan dengan puasa Qadha’?



Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha’. Imam As-Syafi’I
(di dalam kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab “Setiap amalan
dengan niatnya” bahawa: hendaklah dibezakan ibadah puasa Ramadan, puasa
nazar, puasa kafarat, puasa qadha’ dan puasa sunat. Imam Jalaluddin As-Suyuti
(di dalam kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa
Ramadan, atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa
qadha’ di dalam bulan Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam
(tanpa menjatuhkan niat tersebut) mengikut pendapat sebahagian Ulama’.

(C). Bolehkah saya mengumpulkan puasa qadha’ / puasa sunat
Isnin, Khamis dan sunat puasa bulan Rejab. Apakah hukumnya?


Sebahagian Ulama tidak membenarkan mengumpulkan niat ibadat sunat dan
wajib. Oleh itu, adalah baik sekiranya dipisahkan antara keduanya (Sila rujuk
soalan B). Maka, dalam puasa qadha’ dan sunat, adalah wajib didahulukan
puasa qadha’ kerana ia menjadi bebanan orang itu, sedangkan puasa sunat
tidak menjadi bebanannya. Jika seseorang itu berpuasa qadha’ pada hari Isnin,
Khamis atau pada hari-hari yang afdal berpuasa, maka niatkan puasa qadha’.
InsyaAllah, ia juga diberikan pahala sunat pada hari tersebut.


(D).Apakah yang dimaksudkan dengan fidyah?

Fidyah puasa ialah bayaran (secupak makanan asasi) yang perlu dijelaskan kepada golongan fakir miskin kerana meninggalkan puasa.

Hukum mengeluarkannya adalah wajib berdasarkan Firman Allah Ta’ala , maksudnya:

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”.

(Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Sebab-sebab wajib Fidyah

1) Tidak mampu melakukan ibadah puasa

2) Sakit yang tidak mampu untuk sembuh

3) Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu

4) Mengakhirkan Qadha’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya

(E).Haruskah saya membayar hutang puasa walaupun saya telah
membayar fidyah?


Pembayaran fidyah ini tidak mengangkat tanggungjawab anda untuk
menunaikan qadha’ puasa. Anda masih lagi perlu mengqadha’ puasa, selagi
mampu melaksanakannya dari segi kesihatan (Sila rujuk soalan A).

(F).Apakah niat yang perlu dilafazkan bagi mereka yang ingin
membayar balik puasa yang pernah ditinggalkan?


Niat puasa qada’ adalah: “Sahaja aku puasa qadha’ esok hari kerana Allah
S.W.T”

(G).Bagaimana hendak membayar puasa ganti (melahirkan pada bulan
ramdhan).Perlukah mengganti puasa tersebut atau membayar fidiah.


Hendaklah menggantikan puasa tersebut serta membayar fidyah
sebanyak puasa yang ditinggalkan.

(H).Puasa yang tidak diganti selama beberapa tahun. Bagaiman cara untuk
diganti?


Hendaklah ingat berapa hari puasa yang telah ditinggalkan yang
tidak diganti beberapa tahun.Jadi,hendaklah berpuasa mengikut
jumlah hari yang ditinggalkan dan juga membayar fidyah mengikut tahun
yang dilangkaui.Untuk mengetahui jumlah yang tepat bagi membayar fidyah,
boleh rujuk kepada baitulmal berhampiran dan membayarnya di sana.


Sumber : JAKIM dan MUIS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...