19 November 2011

Anak Soleh Jiran Nabi Musa a.s Di Dalam Syurga



Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah.

"Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.
"Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.

"Wahai saudara! Apa agama kamu?".

"Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.

"Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu.

"Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s.

'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.
Baca lagi...

13 November 2011

Allah bukan tidak menjawab kamu.



Ada manusia, rasa ditinggalkan Allah SWT.

Dia merasakan, Allah telah berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar, dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja yang diterimanya. Bila dia merasakan dia baru sahaja bahagia, akan datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.

Akhirnya dia kelelahan. Kekuatannya kontang. Lantas dia merosot jatuh, terlutut dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik dirinya dijemput kematian segera. Kerana dia kini benar-benar rasa tidak berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu bertahan.

Tetapi, benarkah Allah meninggalkan?

Kebersihan iman

Keimanan adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal yakin kepada Allah SWT. Sebab itu kita mampu mengikuti syariatNya, perintahNya, walaupun kadangkala macam sedikit sukar dan membebankan.

Orang Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali sehari. Agama lain kalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani ibadah puasa 30 hari lamanya. Perempuan lain pakai apa yang mereka suka, Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan hanya boleh mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.

Keimanan, adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Kalau diikutkan kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah SWT kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian. Tetapi keimanan adalah apa yang meningkatkan kewarasan akal kita dari biasa, kepada luar biasa. Hingga kita faham bahawa, Allah tidak akan memberikan kita perkara yang sia-sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah dia kewarasan kita. Bukan maddi(material) semata-mata.

Jadi, keimanan yang bersih akan membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah SWT. Dan msutahil Allah memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan kita.

Ada tujuan.

Dan itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukanlah petanda Allah meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat, itulah tanda Allah ‘sedang memandang’ kita.

Tujuan ujian

Kita kembali kepada Allah SWT, dalam tujuanNya menurunkan cabaran dan kesukaran.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Nyata, tujuan ujian hakikatnya adalah ‘tapisan’. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah di mana kita mendapat natijah. Tetapi dunia hakikatnya adalah pentas pertandingan, untuk menguji ‘peserta-peserta’ di dalamnya. Pentas penerimaan hadiah adalah di akhirat sana.

Dan ujian bukan semata-mata ‘tapisan’, tetapi ujian juga datang sebagai ‘pembalasan’ ataupun ‘pembersihan’ ataupun ‘peringatan’.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.

Jadi, ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu, hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah hapuskan terus bila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, Kaum Nuh yang majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar. Tetapi wujud sebahagian yang lain, Allah hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya, bertujuan memberikannya ‘tamparan peringatan’ akan keadaan dirinya.

Ujian juga, hakikatnya adalah satu bentuk ‘panggilan’ Allah SWT, agar hamba-hambaNya yang selama ini alpa, merapat kepadaNya. Lihatlah firman Allah SWT:

“Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.

Jelas bukan? Ujian daripada Allah itu, nyata bukan kosong. Tetapi ada tujuannya. Mustahil sia-sia.

Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab

Lama bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati, apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’, bukan sekadar bicara-perkataan.

Tetapi apabila kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya, bukankah hati sudah sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang ada hanyalah kebaikan-kebaikan sahaja.

“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”

Ya, saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali. Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya terlutut semula.

Tetapi, ada kelainan apabila kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah diturunkan ujian? Apakah tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita memahaminya. Apatah lagi apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan Punya Ujian.

Akhirnya, lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya berlawanan dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa, menjerit ke langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita ada satu lagi pilihan. Itulah dia terus bertahan.

Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.

Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Bagaimana agaknya, orang-orang yang teruji, sampai rasa tidak punya lagi harapan, dan pada saat itu sampailah pertolongan yang selama ini diharapkan? Bukankah kekuatannya akan lebih tertingkat? Bukankah dia akan menjadi yang lebih bersyukur? Bukankah keimanannya akan melonjak?

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah At-Taubah ayat 25-26.

Saat-saat sebahagian manusia telah berputus asa dan berundur, dan sebahagian lain pula kekal bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah apabila Allah turunkan pertolongan pada saat itu akan berlakunya peningkatan terhadap yang kekal percaya? Bukankah telah tertapis daripada golongan pejuang itu mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah?

Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.

Dia tahu waktu dan ketikanya.

Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?

Dan ada orang itu, kekal teruji hingga ke akhirnya.

Ada di dalam sejarah, manusia-manusia yang mati dalam keadaan tidak mencapai kemenangan perjuangannya. Seperti Nabi Yahya yang dipenggal kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.

Apakah Allah tidak menjawab doa mereka?

Tidak. Allah menjawab doa mereka. Dengan syurgaNya.

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 11-12.

Mereka adalah bukti-bukti, buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya.

Jadi bagaimanakah kita?

Apakah benar Allah meninggalkan kita?

Hakikatnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya.

Tetapi hamba-hambaNyalah yang sering meninggalkan Dia.

Kita ini ingin tergolong dari kalangan mana?

Yang percaya? Atau yang meninggalkanNya?

Sumber : LangitIlahi

Baca lagi...

11 November 2011

Kenapa Tuhan Biarkan Dunia Huru Hara?




Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

SILA KLIK BUTANG 'SHARE' SELEPAS MEMBACA
Baca lagi...

07 November 2011

BAGAIMANA ABU HURAIRAH MENDAPAT GELARANNYA?




Abu Hurairah ialah salah seorang perawi hadis yang terkemuka. Beliau dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama sebenar beliau sebelum memeluk agama Islam tidak diketahui dengan jelas, tetapi pendapat yang masyhur ialah Abd Syams. Nama Islamnya adalah Abd al-Rahman. Beliau berasal daripada kabilah ad-Dusi di Yaman. Gelaran Abu Hurairah r.a. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah r.a. bertemu Rasullullah SAW, beliau ditanya oleh baginda apakah yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah oleh Rasullullah SAW. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah. Dalam suatu peristiwa, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.

Apabila sampainya di masjid, baginda bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Ia menjawab anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya. Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing kecil).

Gelaran bapa kucing tidak sedikit pun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya disebut, kerana nabi sendiri yang memberi gelaran itu. Selain itu juga, gelaran Abu Hurairah mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.

Dan Abu Hurairah ialah seorang penghafal hadith2 nabi yang terbanyak dan dia telah dikenali juga sebagai GUDANG ILMU. Dia adalah sahabat yang paling suka bergaul dengan Rasulullah S.a.w. Dia tidakmempunyai tanah dan perniagaan dan seorang yang miskin harta tetapi kaya jiwa, maka masanya paling banyak diluangkan dengan nabi. Dengan kerana itu juga dia telah mempunyai banyak peluang meriwayatkan hadith2 nabi.

Banyak hikmah dari riwayat hidup Abu Hurairah ini dan antaranya beliau telah mencontohi kepada kita betapa bagusnya dan satu amalan yang sangat disukai oleh nabi sendiri iaitu berbuat baik kepada kucing.


Seorang wanita masuk neraka kerana kucing. Ia menahannya hingga mati. Ia masuk neraka kerananya, kerana ia tidak memberinya makan sebab ia menahannya, dan tidak membiarkannya makan serangga-serangga tanah.” Hadith riwayat Bukhari.
Sama-samalah kita mengelakkan diri dari menyeksa binatang, lebih-lebih lagi menyeksakan mereka dengan api. “Sesungguhnya tidak ada yang berhak menyiksa dengan api selain Rabb (Tuhan) pemilik api.” Hadith Riwayat Abu Dawud, hadits shahih.
Baca lagi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...