27 Jun 2011

Diana Adurah (Siri 8 : Akhir)

Sepantas itu juga lengannya ku kutil membuatkan dia terjerit kecil. Habil dan
Hazil yang baru bertatih itu turut tertawa bila melihat ayah mereka
tergelak-gelak.

"Anak dengan abah dia sama je.."ujarku sambil menatap sepasang kembar
comel milik kami. Memang tak kunafikan, dua-dua semua menurut Aznil. Rambutnya,
matanya, hidungnya semua ikut Aznil. Anak bapak..

"Yan search apa kat internet?"soalnya bila melihat aku leka di skrin
komputer.

"Tak ada apa.. tengok-tengok apa yang terkini kat sini.."aku senyum.
Aznil mengangguk perlahan.

"Abang ingat nak ke bandar esok, Kasim dah nak berhenti.. abang kena cari
orang baru.."keluh Aznil. Sejak perusahaan kolam udang dan ikan kelinya
meningkat maju ini dia kekurangan kakitangan.

Kadang-kadang dia sendiri membawa lori ke bandar untuk mengedarkan
pesanan-pesanan pembeli. Biarpun susah sedikit bekerja di bawah terik mentari,
tapi aku kagum dengan kegigihan suamiku. Memang tak silap pilihan orang tua.
Hingga saat ini aku merasa kasih sayang kami makin erat berpadu. Cinta lepas
kawin kot?

"Yan, apa pendapat Yan kalau abang beli tanah kat Kuala Ujung tu? Abang
rasa tempat tu sesuai nak dijadikan tapak tanaman pokok herba.."dia
bertanya.

"Hmm.. dari hari tu lagi Yan dengar abang nak tanam herb.. tapi tak ada
apa-apa pun.."

"Ehh.. ni planning abang yang terbaru.. Ishak kawan abang tu dah tengok
tempat tu.. sesuai dia kata.. lepas ni jadi boleh jadi tauke ubat la
pulak.."Aznil senyum.

"Tak lama lagi musim buah mempelam. Kat kebun kita tu dah keluar bunga
dah..baru-baru ni pihak MARDI pun dah berbincang dengan abang nak luaskan
pasaran.."

"Apa lagi planning abang?"soalku.

"Abang ingat bila dah okey sikit nanti abang nak beli kereta lagi sebuah.
Senang Yan nak guna.. lepas tu abang ingat kita pun kena buat satu lagi
planning penting.."Aznil mengurut-urut dagu.

"Planning apa?"soalku hairan. Banyaknya projek suami aku ni..

"Tambah anak!" Usiknya sambil tertawa.
Apa? "Amboi banyak cantik.. ni dua ni pun dah tak larat nak jaga.. nak
tambah lagi?" soalku geram.

"Bagus apa.. sekarang ni umur Yan 24.. seelok-eloknya sebelum umur Yan 30
kita dah ada 5-6 anak.. so nanti dah tua-tua anak-anak semua dah besar..

"Wah.. wah.. wah..” Aznil tersenyum memandangku sambil mengangkat kening.

"Tu pun satu planning yang baik kalau Yan nak tahu.. by that time kita dah
ada semua yang kita nak. Aset, anak-anak.. bila anak-anak dah habis belajar dia
orang pulak take over semua yang abang buat nie.. lepas tu kita boleh pergi
honeymoon kat mana-mana.." Aznil memeluk bahuku sambil tersenyum.

Hmm.. iyelah tu.. dia tak merasa mengandung macammana.. 9 bulan 10 hari ke hulu
ke hilir.. lepas tu azabnya nak melahirkan lagi.. kalau seorang tak apa.. ini
kembar! Buatnya setiap kali aku mengandung kembar.. naya aku!

"Apa yang Yan fikir?"soal Aznil.

"Kalau planning nak beli tanah.. beli kereta tu.. Yan tak ada halangan..
tapi bab tambah anak tu.. apa kata abang pulak mengandung kali ni?"

Mendengar kata-kataku Aznil tertawa kelucuan.

"Abang cakap senanglah..cuba abang rasa macammana jadi perempuan.. dahlah kena mengandung.. masa beranak lagi.. lepas tu kena jaga anak-anak.. product abang tu.. sendiri
tengoklah.. lasak bukan main.." ujarku.

Aznil senyum dan memandangku lama.

“Abang gurau ajela Abang tahu Yan
penat. Takkan abang tak fikir susah senang yang tak boleh Yan kongsi dengan
abang anak-anak kita ni pun dah cukup bererti buat abang.."

Aku terdiam.Wajah tenang Aznil kutatap. Tiba-tiba terasa bersalah pula bila aku berkata begitu. Selama ini dia tak pernah mengeluh atau merungut akan kekurangan aku. Semuanya elok dan okey sahaja. Cuma aku saja yang sering melepaskan geram padanya. Sejak kami ada anak sekarang memang dia agak terabai. Makan pun kadang-kadang lambat. Malah pernah
sekali dia pulang ke rumah, tapi aku tak sempat menyiapkan hidangan. Dia dengan
rela hatinya memasak untuk kami hari itu.

"Abang.."Aku pandang wajahnya lama. Aznil senyum menanti bicaraku.

"Tak apalah.. abang faham.. " Dia mencuit daguku sambil memelukku
erat. Dalam hati aku terasa lega yang amat sangat. Sesungguhnya aku bahagia
dikurniakan suami seperti dia.

Habil tiba-tiba merengek manja bila lori mainannya dirampas Hazil. Aznil segera
mendapatkan anak-anak kami mendukung Habil tetapi Hazil pula menjerit menangis
bila abahnya tidak mendukungnya sekali. Aku tergelak lantas menutup komputer.
Hazil yang menangis ku ambil dan ku dukung.

"Tengok.. macammana nak tambah produk.." soalku lantas kami sama-sama
tergelak mesra..

EMBUN Cuma tersenyum bila aku menolak pintu kedainya. Dua tiga orang pelanggan
kelihatan sedang sabar menanti gubahan bunga di sudut kiri kedai.
"Datang berlenggang aja.. tentera-tentera kau mana?"soalnya. Aku
sengih panjang.

"Ada kat rumah mak aku.. kalau bawa aku rasa habis satu bandar nie dia
orang pusing.."beritahuku. Embun senyum. Mungkin tumpang gembira mendengar
cerita anak-anakku yang sudah bertatih itu.

"Rasa macam baru lagi kau bersalin ye Yan?"Aku Cuma mengangguk.
Betapa pantas masa berlalu. Embun bangun dari kerusi sambil mengusung perutnya
yang semakin membesar. Aku tersenyum sendiri. Masa aku dalam pantang dahulu dia
datang menziarah. Seronok bila melihat dia meriba Habil yang masih merah.

"Kenapa kau senyum-senyum?"soalnya.

"Tak adalah.. dulu masa aku dalam pantang kau cakap kat aku.. nak sangat
anak lelaki.. tak sangka aku habis pantang kau pulak mengandung.."ujarku.
Embun tersenyum.

"Kau jangan tak tahu.. kawan kita si Qursiah tu pun dah start
pening-pening.."beritahunya.

"Iye ke? Alhamdulillah.. " Aku penuh kejutan mendengar berita itu.

Mana taknya.. dah dekat 6 tahun dia mendirikan rumahtangga.. sejak tamat SPM
hinggalah ke hari ini menanti kehadiran cahaya mata.. akhirnya termakbul juga
doanya.

"Aku pun terkejut.. tapi dia kata sejak ambil jamu Puspa Kencana period
dia lancar.. alhamdulillah.."hmm.. Puspa Kencana lagi!! Apasal asyik topik jamu saja dua tiga menjak ni? Aku Cuma mengangkat kening.

"Yan, macammana permohonan kau nak masuk U tu?"soal Embun. Aku
senyum.

"Entah.. aku main hantar ja.. saja suka-suka.. " jawabku. Dulu masa
selak-selak paper di kedainya ada keluar iklan kemasukan ke universiti. UUM tak
silap aku. Terpanggil pula nak isi.. saja suka-suka!

"aku ingat kau bersungguh-sungguh.."Embun mencebik mulut.

"Aku serah pada nasib.. kalau dapat aku pergi.. kalau tak tak adalah!
Lagipun anak-anak aku siapa nak jaga?"soalku. Embun senyum.
"Kau buatlah PJJ.."

"Kau pulak macammana?"soalku. Setahuku Embun buat PJJ sejak dua tahun
lalu.

"Aku rasa tak sempat aku nak ambil exam.. aku minta cuti satu semester la
jawabnya.. ni tunggu hari je ni.."jawab Embun sambil mengusap perutnya
yang menggelembung. Aku senyum.

"Zaman sekarang ni kita tak boleh ketinggalan Yan.. belajar selagi
boleh.." Embun memberi semangat.

"Heh.. mentang-mentanglah kawin dengan pensyarah.. macam lecturer pulak
kau ni.." usikku membuatkan dia tertawa.

"Kau haus tak? Aku teringin nak makan kat Burger Kinglah.. jom kita pergi
nak?" ajaknya.

"Aii.. aku rasa baru je dua jam kita makan Nasi Goreng Special tadi.. kau
lapar balik?"soalku terkejut.

"bukan aku nak makan.. anak aku nie.." Embun sengih. Aku Cuma
menggeleng kepala. Apa-apa sajalah Embun!

"Jom!"Dia menarik tanganku pergi.

AZNIL Cuma tersenyum bila
melihat muncungku panjang berjela. Sejak emaknya balik tadi sepatahpun aku tak
bersuara. Bencinya aku!! Balik-balik nak bagi ceramah… balik-balik nak bagi
ceramah! Dia merebahkan badan di sebelah sambil membetulkan bantal.

"Kau tak masak lagi??"emak terperanjat bila melihat periuk tersusun
elok di rak. Dia meninjau-tinjau pula rice cooker aku. Seketika kepalanya
menggeleng.

Kemudian beralih pula pada kabinet dapur.

"Kau tak sentuh langsung jamu-jamu ni Yan?"soalnya lagi. Aku Cuma
mendiamkan diri sambil mendukung Hazil yang meragam sejak tadi. Puncanya dia
merajuk bila Aznil tak memandikannya pagi tadi. Sudahnya seharian ini aku tak dapat berbuat apa-apa. Si Habil pula bila adiknya buat hal dia pun ikut samalah!

"Dah nak masuk pukul dua dah ni, tak masak apa-apa lagi?"soal emak
sekali lagi.

"Budak-budak ni meragam mak.. tak boleh nak letak langsung.."jawabku.

"Jangan manjakan sangat anak-anak kau ni Yan tengok menangis sikit
dukung.. menangis sikit dukung.. jangan ajar dia dia orang macam tu.." Emak
mengambil Habil di sebelah kiriku. Kepala cucunya itu diusap lembut. Aku
terduduk keletihan. Tak pedulilah mak mertua aku tu belum minum seteguk air
lagi.

"Mak dulu beranak rapat-rapat jugak.. 8 anak mak.. semua boleh mak buat
sorang. Dulu lagi susah.. kena cari kayu api.. kena giling cili kering.. itu
belum lagi kena bantu bapak kamu kat kebun.. alhamdulillah.. besar juga
anak-anak mak.. "

"Nak basuh kain bukan kena guna mesin basuh macam sekarang ni.. basuh
dengan tangan.. " sambungnya lagi sambil memandangku. Aku diam sahaja. Nak
jawab apa? Hmm..

"Tinggalkan budak-budak ni.. pergi masak.. nanti suami balik tengok periuk
kosong terbakar hati.."suruhnya.

"Err.. tak payah masaklah kot.."

"Kenapa pulak?"soal mak terkejut.

"Yan.. Yan suruh abang beli aje mak.."

"Beli?

"Yan.. kenapa ni?" Aznil menyedarkan aku dari lamunan. Aku menarik
nafas panjang. Soalannya kubiarkan tak berjawab. Aznil sengih aja.

"Abang tengok Yan merajuk ni.. serupa dengan kawan Yan tu.."

"Kawan Yan?"soalku hairan.

"Ha ah.. kawan yang selalu lepak atas pokok tu.." dia tertawa kecil.

"Abang ni!"Aku menarik muka masam. Menyampah betul malas nak layan!

"Tak baik marah-marah.. 10% muka lebih tua dari usia.."Aznil
tersenyum.

"Mana tak marah.. mak abang tu.. " Aku melahirkan rasa tak puas hati.

"Kenapa dengan mak?"soalnya. Aku menarik nafas. Malas aku nak cerita.

Tadi bila aku kata suruh Aznil belikan makanan dia start dah membebel kat aku.
Kononnya air tangan isteri lebih baik bla.. bla.. bla.. Dengan muka kecut aku
terpaksa juga memasak. Konon-konon nak jaga hati dia aku masakkanlah gulai
lemak ikan tenggiri campur belimbing buluh.

Entah macammana aku tertumpah banyak garam. Gulai yang nampak sedap dikritik
sepenuh hati. Entahlah.. sejak dua menjak ni banyak betul cabaran untuk aku
sebagai ibu muda. Dan entah kenapa sejak dua menjak ni aku makin menyampah
dengan ibu mertuaku.
"Ala.. orang tua biasalah.. dia marah tu nak mengajar.." jelas Aznil.

"Mak Yan tu tua juga.. tapi tak adalah cerewet macam mak abang
tu!" Balasku.

"Mak abang tu dia beranak tahun ayam.. sebab tu mulut dia bising sikit..
mak Yan beranak tahun ular.. tu diam je.." jawab Aznil selamba.

"Abang ni orang cakap betul-betul dia main-main!"

"La.. betullah abang cakap.. mana ada main-main.. tak percaya tanya cicak
kat dinding tu.."

"Abang!"Aku menjelingnya geram. Aznil tersenyum.

"Okey.. okey.. apa dia.. cuba cerita…."Aznil merenungku sambil
tersengih. Ingat menjadi sangatlah lawak dia tu? Aku tengah tension ni!

"Iyelah.. sekali dua Yan bolehlah diam lagi.. ni dah banyak kali dah ni..
tadi tu.. Yan penat sangat sebenarnya sebab tu la Yan pesan abang beli lauk je
.. tapi bila mak abang tu datang siap bagi ceramah lagi pasal itu ini..
terpaksa Yan masak. Pulak tu termasin sikit dia dah bising sampai mak Yan pun
tahu Yan masak gulai masin.."Aku memandang ke arah Aznil meminta simpati.

Aznil senyum sahaja sambil menguap.

"Lagi?"

"Lagi? Ala.. macam-macamlah.. dia komplen Yan tak pandai mengemaslah..
bilik air berlendirlah.. Abang pun tahu kan Yan tak larat nak kawal anak-anak
kita ni?"Aku menanti respon. Aikk.. apasal senyap aja ni? Aku menoleh.

Aznil sudah terlena dengan asyik sekali di sebelah.

"Abang!"Aku menarik nafas geram. Dia tido pulak!!! Eii geramnya aku!!

Dengan bengang aku menutup lampu tidur.


HABIL dan Hadzil sudah tertidur di atas tilam kecil mereka. Balik dari rumah
mak tadi dua-dua merengek mahu menyusu. Dapat sebotol seorang terus baring dan
akhirnya terlena. Aku bersandar di kerusi melepaskan penat. Memang tak terkejar
kalau tak ada pembantu. Tapi, siapa lagi yang boleh ku harapkan? Itupun di rumah
mak tadi mujur ada mak uda Fina dan mak usu Ina mereka. Boleh juga aku rehat
sekejap.

"assalamualaikum kak.."Aku terperanjat. Seorang gadis sedang berdiri
di sebelahku.

"Eh.. siapa awak?"Aku segera bangun dan merapati anak-anakku yang
tergolek di lantai. Kalau terjadi apa-apa senang aku dukung kedua-duanya. Gadis
itu Cuma tersenyum.

"Saya Azizan.. " dia menghulur tangan. Apa? Azizan lagi?

"Macammana awak boleh masuk ke sini?"soalku, masih enggan menyambut
hulurannya.

"Saya datang dengan Abang Aznil tadi.. " apa? Datang dengan Aznil?

Dalam masa aku terpinga-pinga muncul pula seorang perempuan separuh umur dari
bilik tamu. Aku semakin tak mengerti. Siapa pula yang menceroboh masuk ke rumah
aku ni??

"Ini ke isteri Aznil?"soalnya sambil memandangku dari atas hingga ke
bawah.

"Iye.. mak cik ni siapa?"soalku. Belum pun sempat soalanku terjawab
mak mertuaku dah tiba di muka pintu.

"Bila kau balik Yan? Tadi mak datang tak ada.."sapanya sambil
merapati kami.

"Baru je mak.. err.. mak datang dengan siapa?"soalku hairan.
Selalunya ada bapa mertuaku menghantar dengan motor.

"Mak datang dengan Rashid tadi.. suruh Aznil jemput dia kata kamu guna
kereta.. " Mak duduk di kerusi sambil memerhatikan cucu-cucunya yang
terlena.

"Ini sepupu mak.. Mak long.. dulu masa kamu kawin dia tak datang, pergi
mekah.." mak memperkenalkan. Aku tersenyum sambil menyalami wanita itu.

"Ini Azizan.. anak mak long tu.. kawan dengan Aznil masa kecil-kecil
dulu.."Kali ini aku pula menghulur tangan. Gadis manis itu Cuma tersenyum.
Aku mula dilanda serba salah. Mak long melilau melihat seluruh kawasan rumah.

"Mak Long datang dengan bas ke dari sana tadi?"soalku, cuba
mewujudkan kemesraan sebagai tuan rumah agar tetamu tak kekok.

"Kita naik kapal terbang.. anak yang suruh.."jawabnya sambil
membelek-belek bunga kristal yang dah berhabuk dalam vase atas meja. Alamak..
mesti orang tua ni cerewet juga. Kalau tak takkan sampai ke celah kelopak bunga
kristal aku dibeleknya?

"Kite dari Taiping tadi sempat sarapan aja.. sampai airport terus naik
kapal terbang…"tiba-tiba dia bersuara. Aku lihat mak memandangku penuh
makna. Seakan mengerti aku segera ke dapur. Ayam di dalam peti sejuk
ku keluarkan. Memandangkan hari telah pukul 3.00 dan tetamu pula sudah lapar aku
masakkan ayam goreng saja. Sayur kacang buncis pula aku goreng campur bunga
kubis. Kemudian ada bebola daging di dalam peti ais elok kubuatkan sup. Aku
berkira-kira sambil tangan ligat memotong sayur.

Lagipun, sejak berkahwin, tiga masakan itu saja yang aku master. Aznil pun
bukan main memuji lagi kalau aku hidangkan dia sup bebola daging. Kalah sup kat
hotel kata dia. Rempah ratus untuk membuat sup sudah kusiapkan. Sayur juga
sudah bersih dicuci sementara ayam sedang garing di dalam kuali.
Dalam hati aku tertanya-tanya juga. Terkejut aku bila dikunjungi tamu asing
ini. Si Aznil pun satu.. kenapa tak cakap awal-awal ada saudara dia nak datang
ke rumah? Aku bermonolog sendiri. Ah, lantaklah.. yang penting perut tamu mesti
diisi dahulu..

"MAK long kamu ni nak duduk di sini seminggu dua.. lagipun dah lama sangat
dia tak ke sini. Masa kamu kawin dulu dia tak datang.. dah ada anak baru sempat
nak datang ke sini.."kata-kata emak itu membuatkan seleraku mati. Tak jadi
nak tambah nasi. Mak long di hadapanku Cuma tersengih-sengih. Bukan aku tak
suka, tapi aku bimbang tak dapat melayan tamu itu sebaiknya. Maklumlah, ini
pertama kali aku bergelar ibu kepada dua anak kembar, tentulah banyak perkara
masih dalam proses pembelajaran, terutama sekali dalam mengatur masa agar
semuanya selesai dan diselenggara dengan baik.

"Kak Long duduklah, buat macam rumah sendiri. Dian ni kalau ada terkurang
kelakuannya.. maafkanlah ye.."

"Ehh Aznil tu kan dah macam anak kita.. menantu awak , menantu kita
juga.."balas mak long sambil tertawa kecil. Azizan di sebelahnya Cuma
tersenyum simpul.

"Eloklah tu mak long.. Nil tak kisah, tapi harapnya mak long bolehlah
duduk kat pondok Nil nie.."Aznil pula menyokong emaknya.

"Pondok apa.. abang ni saja nak merendah diri, kan mak?"Hmm.. aku
terkejut. Tak sangka si Azizan yang nampak pemalu dah mula tunjuk taring!

"Tambah lagi mak long.. nasi tu.. minta maaflah.. lauk tak
seberapa.."pelawaku.

"Hehehe.. cukuplah nie.. lauk orang malas.."Aku tak jadi menceduk
kuah sup ke dalam pinggan. Mak long tersenyum-senyum sambil memandang kami.

Lauk orang malas?

"Kedai tutup hari ni kak.. hari minggu.. tu si Dian tak sempat beli
kelapa.. kalau tak insyaAllah, merasa juga kita gulai lemak dia.."emak
mertua seakan memahami, cuba memberi alasan. Aku rasa seleraku sudah mati.

"Iyelah.. lagipun, masak sup ni mudah sangat. Tak payah macam kita
dulu-dulu kan Som? Kalau nak menjamu orang datang, masak air macam ni.. sah
kena lemparlah periuk gulai dek mak kite.."sambil terlengguk-lengguk leher
mak long bercerita.

"Iye ke mak long?"soal Aznil.

Ah.. manusia tu bukannya dia boleh sense orang tu perli ke puji..

"Masakan ni moden kak long.. orang sekarang ni tak galakkan kita makan
lemak-lemak sangat.. kolestrol.. boleh kena sakit jantung.."

"Iyelah.. sekarang ni semua orang memang moden belaka suri rumah pun, dah
sibuk.. sampai nak lipat baju pun tak sempat.."Aku rasa mahu saja aku
bangun dan pergi dari situ. Entah kenapa.. menyampah sungguh aku dengan
perangai sepupu mak mertua aku ni. Dalam pada itu aku berterima kasih pada mak
mertuaku. Saat-saat kena sindir tadi, dia masih sudi menyebelahiku.

"Hairani apa kabar sekarang ni kak? Dulu dengar cerita sambung
belajar.." Emak mula mengalih topik. Mungkin sedar aku sudah menjeruk rasa
agaknya.

"Dah habis belajar dah.. sekarang ni dia sibuk buat bisnes.. " jelas
orang tua itu. Dia Cuma menguis-kuis nasi di pinggan, mungkin hilang seleranya
kerana lauk orang malas..

"Anak-anak akak berjaya semua.." puji emak.

"Kita yang mengandung dan melahirkannya.. kenalah didik betul-betul anak
kita Som.. macam kita nie.. si Azizan ni.. serba serbi kita ajar dia masak.
Jangan nak malukan kita kalau dah besar panjang tak pandai buat kari lagi..
jatuh air muka kita Som.. malu kat besan kita anak dara kita tak pandai
memasak!"

Adui.. Aku memandang ke arah Aznil yang rancak menyuap nasi.
Eii.. bengangnya aku.. bukan dia nak perasan orang tu dok menyindir isteri dia!

"Kita selalu pesan anak-anak dara kita.. belajar tinggi mana pun, masak tu
jangan tinggal!"sambungnya lagi, cukup membuatkan aku rasa meluat.

"Err.. mak long, mak, izan, makanlah ye.. Yan nak tengok budak-budak kat
atas tu.."Aku segera mengangkat pinggan.

"Sikit makan Yan.. jaga badan ke?"Mak Long menegur saat aku
mengangkat punggung. Aku Cuma senyum. Bukan jaga badan mak long, tapi nak jaga
hati sendiri. Karang, kalau hati dah sakit, mulut kita ni pulak yang rancak
menjawab.. kesian pulak kat mak long.. kena belasah dengan mulut kita ni!

"KITA masa muda-muda dulu.. tak ada pakai selekeh-selekeh macam
ni.."Alamak.. dia dah start dah.. Mak Long Siti Kembang duduk di atas
bangku berhampiran pondok tempat aku dan Aznil selalu berdua-duaan.
"Ni, muka kita ni pagi-pagi.. merah macam bunga ros.. segar.. badan kita
ni, dah siap wangi bau langir limau masa mandi.."sambungnya lagi.

Aku Cuma mendiamkan diri. Satu demi satu pasu bunga ku siram. Hari ini tak pasal-pasal
aku bangun pukul 4.00 pagi. Semuanya kerana mak sedara sepupu Aznil tu la! Mak
mertuaku sempat berpesan semalam, jaga hati Mak Long baik-baik. Jangan sesekali
menjawab cakapnya. Silap hari bulan, satu Taiping dihebohnya cerita baik buruk
menantu mak.

"Tu la mak nasihat kat Yan.. kemas rumah.. belajar-belajar menggulai..
" bisik mak semalam. Aku Cuma diam saja.

"Kalau mak ni cerewet, dia lagi cerewet.."sambung mak lagi. Hmm.. mak
lupa nak tambah satu lagi, mulut dia celupar!

"Kalau pakai kain batik macam ni, kita siap pakai kebaya pendek. Barulah
suami kita suka.. ini pagi-pagi.. pakai baju londeh.. muka pucat kusut..
macammana suami nak sayang?"Mak Long terus membebel. Hei.. aku cuba
menyabarkan hati.

"Lain kali petik bunga-bunga.. bawa mandi pagi-pagi.. awet muda.. "
Mak long melenggang lenggok ke hujung laman, memetik beberapa kuntum cempaka
merah dan menghidu baunya.

"Pagi-pagi sejuk mak long nak mandi.."akhirnya aku menjawab juga. Mak
Long mencebik.

"Bangunlah jerang air.. takkan tak boleh fikir.. kita dulu masa muda.. masa
kuat.. kita timba air sungai siang-siang. Kita penuhkan tempayan kita.
Pagi-pagi esok kita jerang air, guna dapur kayu. Lagi susah! Sekarang ni dah
senang, dapur pun petik aja.. takkan tak boleh buat?"Aku diam. Malasnya
aku nak layan kerenah orang tua tu!

"Sebab tu kita jadi janda masa umur kita 45 pun.. orang masih
tergila-gilakan kita"sambungnya lagi. Argghh!! Tensionnya aku! Cukuplah
aku dibasuh oleh mak mertuaku, ni tambah sorang lagi sukarelawan nak membebel
kat aku hari-hari. Pili paip kututup segera.

"Nak kemana tu?"soal Mak Long bila melihat aku melangkah deras ke
arah rumah.

"Anak kita menangis mak long!"jawabku. Dalam hati sabar ajalah aku

RESEPI udang harimau bersos masam ku buka.
Hmm.. tengah hari ni aku masak udang ni.. kemudian gulai asam
pedas ikan duri.. kalau nak lagi sedap buat acar timun mentah. Ada daging rusa
pemberian abah tempoh hari boleh buat masak kicap! Hmm….. complete hidangan
tengah hari!

"Nah!" Mak Long muncul tiba-tiba bersama sebiji nangka muda. Beberapa
helai daun kunyit dan kesom juga diletakkan ke atas meja.

"Masak gulai nangka campur tulang ikan masin, Yan.. teringin kita nak
makan.. Pucuk betik ni celur.. buat sambal belacan.. daging tu daging
apa?"soalnya melihat ke sinkiku.

"Daging rusa mak long.."

"Hmm.. eloklah tu.. bakar, buat air asam pencecah.. sedap!" Dia tersenyum.

Ah.. sudah! Biar betul orang tua ni..

"Mak long nak tengok-tengok keliling rumah kamu.. " terkedek-kedek
wanita itu meninggalkan aku seorang diri di dapur.

Hmm.. macammana ni? Aku mana pernah masak gulai nangka. Nak kupas nangka muda
tu pun selalunya mak yang buat. Tak pun sudah siap beli di pasar.

Aku segera naik ke ruang tamu. Telefon kucapai dan nombor telefon rumah emak
kudail.

"Assalamualaikum.."alhamdulillah.. terdengar suara emak di talian.
"Waalaikummussalam.. mak! Habislah Yan kali ni.." kataku cemas.

"Kenapa ni? Anak sakit ke?" Mak sudah menggelabah.

"Bukan.. mak saudara Aznil ada datang nie mak.. nak makan gulai nangka
muda.. macammana ni mak?..

"Masak ajelah.. susah apa.."selamba emak menjawab.

"Mana Yan tahu masak semua tu mak.."

"Kupas nangka tu.. lepas tu potong-potong.. celur dengan air panas. Lepas
tu masak macam biasalah.. kalau campur tulang ikan masin rendam dulu tulang tu
dengan air. Lepas tu bila masak jangan taruk garam dah.. biar pedas sikit..
baru sedap!"jelas emak. Hmm.. aku menarik nafas.

"Cuba sajalah.. janji boleh makan.."emak memberi semangat. Iyelah
mak.. nak beri semangat pada mak long tu supaya mengutuk aku nanti!

"Okeylah mak! Yan nak masak ni.. assalamualaikum!"Aku meletakkan
gagang. Jam di dinding sudah pukul 10.30 dan aku bergegas ke dapur untuk
memasak..

……………………………………………………..
"RESEPI baru ye?"soal Aznil. Aku diam membatu. Tangan saja tak
berhenti bergerak menyendukkan nasi ke pinggannya.
"yang ini abang tahu.. daging bakar kan?"soalnya. Aku masih diam. Nak
makan tu makan ajelah! Banyaknya soalan..

"Ni apa ni?"dia mengacau kuah berwarna ungu itu di dalam mangkuk
comel.

"Abang nak makan ke tak ni?"soalku. Meradang juga bila dia bertanya
itu ini. Macam perli je.. dah la aku kena teruk tadi dengan mak long. Aku tak
tahu nak letak muka kat mana tadi. Entah disampuk apa agaknya mak long
tiba-tiba dia mengajak kak Esah Puspa Kencana tu datang makan tengah hari sama.
Sudahlah aku kelam kabut dengan anak-anak aku tadi. Anak dia si Azizan tu,
sedikit pun tak mahu menolong. Bergayut di telefon macam bapak dia yang bayar!

Bukan dia tak tahu aku sibuk di dapur. Baru saja aku selesai menanak nasi Habil
dan Hazil terjaga. Seperti biasa bila si kembar itu dah terbangun tiada apa
yang dapat ku buat. Tapi demi mak long, aku usaha juga menyediakan apa yang
dihajati.

Malangnya.. sewaktu sedang leka melayan si Habil, tak sedar Hazil yang sedang
ku dukung dah curahkan kicap cair dalam mangkuk ke dalam periuk berisi gulai.
Tuhan saja yang tahu betapa geramnya aku. Tangannya memang cepat mencapai itu
ini.

"Hazil tau tak mama penat masak semua ni? Santan pun mama tak isi lagi
Hazil dah isi kicap.." aku berleter sendiri dan si Hazil Cuma tersengih sambil bertepuk tangan. Apalah yang budak berusia setahun dua bulan itu tahu?

"Apa yang kau masak ni?"soal mak long.

"Amboi.. resepi apa ni Yan.. bolehlah kak Esah cuba.."sampuk kak Esah
pula. Mak long mencapai senduk dan menceduk-ceduk gulai itu di dalam periuk.

"Apa ni yang kau masak? Gulai ke air longkang?"soalnya. Aku diam tak
terkata.

"Hmm.. orang zaman sekarang ni macam-macam Esah.. kita dulu masa umur 12
tahun dah pandai serba serbi.. tak heranlah kita ni umur 14 tahun orang dah
masuk meminang.."dah.. start dah burung kakak tua berleter!

"Iye ke Mak Long?"soal Kak Esah berminat.

"Ni, kita ni dulu, anak 5, badan kita ni lagi kecik dari badan awak
Esah.."bertambah-tambah gah la dia nak memuji diri tu!

"Kita dulu pun beranak kembar juga.. tapi kita boleh uruskan
rumahtangga.."dia menjelingku. Aku buat-buat tak nampak. Malas aku nak
melayan dia bercakap.

"Heran kita.. kata mak bapak buka kedai makan.. tapi anak tak pandai
memasak?"Mak long tergeleng-geleng.
"Marilah kita ke bandar Esah.."Dia menarik tangan kak Esah yang masih
mengintai apa yang kumasak.

"Kita makan kat bandar ajelah.. kita tak selera tengok masakan macam ni..
kempunan kita nak makan gulai nangka.."

"Hai.. panjang menung.."Aznil memetik jari, sekaligus menyedarkan
aku. Dia tersenyum. Tangannya memegang tanganku.

"Abang tau tak apa mak cik abang tu cakap kat Yan hari ni? Dia kata Yan
masak air longkang.."Aku memandangnya.

"Sabarlah.. bukan selalu dia datang. Lagipun, dia tu ibu susu abang dulu..
maknanya, mak abang juga.."pujuknya lembut.

"Tak kiralah.. tapi janganlah cakap macam tu.. kalau Yan tak betul,
ajarkanlah.."Aku tak jadi mengisi nasi ke pinggan sendiri. Aznil Cuma
senyum. Dia mengisi gulai nangka berkicap itu ke dalam pinggan.

"Sedap je apa Yan masak ni.."pujinya. Nak ambil hati aku la tu! Aku
menarik nafas.

"Sedap?"soalku. Aznil mengangguk.

"Okey.. abang habiskan gulai seperiuk tu.."kataku membuatkan dia
terlopong. Hmm.. padan muka!
……………………………………………………..
HARI demi hari yang ku lalui makin memeritkan bila Mak Long ada. Anak-anak semakin lasak kerana sudah pandai berjalan dan berlari. Sekarang sudah pandai hendak bermain bola. Aznil pula sibuk dengan projek tanaman herba di tanah yang baru dibeli. Jarang ada masa di
rumah. Dua tiga hari lepas dia ke Kedah, mencari benih-benih tanaman yang
sesuai bersama kawannya.

"Sabar aje la.. bukannya lama pun.. dua minggu je.. sekarang dah seminggu
lebih.. dua tiga hari lagi dia baliklah.."Embun yang baru 4 hari melahirkan anak menasihatkan. Aku cuma mendiamkan diri. Sepatutnya aku tak
menghidangkan masalah baruku kepadanya, maklumlah dia masih lemah lagi. Tapi
Embun ternyata sahabat yang baik. Masih mampu tersenyum dan sabar mendengar
masalahku.

"Syukurlah kau sebab mak mertua kau tak secerewet tu.." Kata-kata
Embun itu memang ku akui. Selama ini aku selalu bersungut dengan perangai emak.
Aku rasa seolah-olah orang tua itu busybody. Semua urusan rumahtanggaku dia nak
campur.

Tapi sekarang, ternyata Tuhan dah membalas. Aku diuji dengan seorang mak cik
yang cerewetnya macam nak mampos! Kalau mak mertua aku datang makan berlaukkan
sambal pun dia tak kisah. Cuma dia bersungut sebab aku jarang memasak untuk
suami selepas mempunyai anak. Tapi, tak adalah sampai kata masakan aku macam
air longkanglah.. rumah aku macam kandang kambinglah.. bilik dia bernyamuk agas
macam rumah tinggallah..

"Rumah kita.. tak ada bersemut macam ni.. agaknya ada bangkai tikus kat
mana-mana.. kita kalau menyapu, habis ceruk-ceruk kita korek. Tak berhabuk
rumah kita!" sungutnya bila ada semut mayat merayap di biliknya.

"Habis badan Izan ni mak.. gatal-gatal!" Si anak gadis pula mengadu.
Aku Cuma mendiamkan diri. Paling habis pun aku semburkan racun semut ke seluruh
penjuru bilik.

"Hishh.. kita tak tahan bau busuk racun ni.. tak fikir ke kita ni dah
tua.. semput pulak tu.. macammana kita nak tidur bau busuk macam ni?" Pulak
dah!

"Mak long tidur bukak tingkap.. nanti bau bunga-bunga cempaka kat luar tu
boleh cover bau busuk racun tu.."Malas aku nak layan kerenah cerewet mak
long. Pulak tu sekarang ni pantang dia tengok aku terlena. Pasti becok mulutnya berleter.

"Apa nak jadi ni.. jangan manjakan badan tu.. letih sikit tidur.. asal tak
sihat sikit cari bantal.. tu, minum air ubat tu! Jangan asyik nak telan ais
saja.. nanti kembang semua urat.. muda-muda dah tak boleh nak beranak lagi
nanti.."sebab tak tahan mendengar leterannya ku paksakan diri menghabiskan
jamu-jamu yang kak Esah jual tempoh hari. Kalau dengan emak mertua ku boleh
bertolak ansur lagi, dengan mak long ni.. sorrylah! Hancur telinga dibuatnya..
nak mengadu kat Aznil? Balik-balik dia kata sifat mak long memang macam tu..
tapi hatinya baik! Mulut je bising macam itik nak mengawan!

"Semua orang ada kurang ada baiknya Yan.. lama-lama nanti kau nampaklah
baik dia.." nasihat Embun lagi sambil menyusu bayinya. Aku mengangguk.
Mudah-mudahan.

"Aku balik dululah Embun.. anak-anak aku kat rumah tu tak tahu apa cerita”.
Selepas menghantar Azizan yang ingin balik ke UTM ke stesen bas tadi aku terus
melawat Embun. Bukan apa, malas aku nak berdepan dengan Mak Long tu. Entah apa
mimpinya nak duduk lama-lama lagi di rumah aku. Dia menjeling saja bila aku
menyerahkan anak-anak di bawah pengawasan Aznil.

AKU masuk ke halaman rumah.
Kelihatan rumah sunyi sahaja. Kembara juga tidak ada di bawah garaj. Kemana
pula si Aznil ni pergi? Soalku sendiri sambil melangkah masuk. Mesti dia orang
keluar. Alhamdulillah.. lega aku.

Tak adalah aku kena bebel lagi! Aku masuk ke kamar dan merebahkan badan.
Setelah sekian lama jarang aku ada masa untuk diri sendiri.
Dari pagi hingga ke malam sibuk menguruskan anak-anak dan suami. Aku duduk
mengadap cermin. Oh My God! Aku usap muka yang pucat. Kenapa dengan muka aku
ni?

Macam orang tak cukup darah je.. aku belek pula tangan aku. Urat-urat biru
timbul di permukaan kulit, cukup hodoh. Aku pegang pula rambut. Betul ke kata
mak long? Betul ke aku sudah semakin tua sebelum waktunya? Terngiang-ngiang
kata-kata bebelannya di telingaku.

"Makan pucuk betik ni.. awet muda.. awak tu belum masuk umur 25 dah macam
orang umur 40.. " ala.. kan ke pucuk betik tu pahit. Aku pernah makannya
dulu, air rebusan daunnya tapi habis termuntah balik. Tu baru air daun, nak
suruh aku makan pucuknye pulak? Ohh tidak..

"Asyik tidur saja.. bawa-bawa bersihkan laman tu.. rumput dah panjang..
semua nak harap suami buat.. keluarkan peluh sikit.."Aku rasa nak tutup
mulut mak long dengan bantal waktu itu juga. Tak tahu ke dia anak aku meragam
sepanjang malam dan ada waktu terluang pagi itu aku ingin mengqada balik
tidurku?

"Ni.. makan bunga ros ni.. tanam saja tapi tak tahu nak guna buat apa? Ni
untuk awet muda.."Heh.. aku tersengih saja mendengar kerenah mak long.

"Iye ke maklong? Tu Yan tengok kambing tu makan bunga ros tak awet muda
pun.." jawabku membuatkan mak long Cuma menjeling geram.

Aku menarik nafas. Perlahan aku keluar dari kamar untuk ke dapur. Semasa
melintasi bilik mak long, pintunya kelihatan renggang. Entah kenapa tergerak
hatiku untuk masuk ke dalam. Hari tu dia komplen bilik tu ada bunyi katak, biar
aku check. Bisikku sendiri sambil menolak daun pintu.

Saat pintu ternganga aku tergamam. Mak long terlentang di atas lantai bersama
kain sembahyang yang masih belum terlucut.

"Mak Long!"Aku menerpa. Tubuh tua itu ku goncang-goncang. Ya Allah!
Apa kena dengan orang tua ni? Tanpa lengah aku segera ke meja telefon.

"Hello.. abang! Balik cepat bang!"

"Kenapa ni?"suara Aznil kedengaran.

"Mak long ni pengsan!"Aku segera meletakkan gagang. Dalam hati aku
terasa cemas. Sempat kupanjatkan doa agar Mak Long selamat. Beberapa minit
kemudian Aznil tiba bersama ibu mertuaku. Dengan susah payah kami bertiga
mengangkat mak long masuk ke dalam kereta. Aku pula mengikut mereka ke hospital
bersama van abah.

Keadaan mak long agak kritikal. Kata doktor mak long kehabisan ubat dan
diserang lelah tiba-tiba. Kalau terlambat beberapa saat mungkin boleh membawa
maut. Mendengar itu hatiku terasa takut tiba-tiba.

"Malam ni terpaksa tahan di wad.. seseorang kena menjaganya.." doktor
berbangsa india yang peramah itu berkata. Kami semua saling berpandangan. Ibu mertuaku tak mungkin. Ayah tak sihat dua tiga hari ini, tak mungkin
dia meninggalkan ayah.

"Apa kata Yan aja yang jaga mak long?"usul dari Aznil itu buat mataku
terbeliak. Dia tersenyum buat tak mengerti.

"Elok juga.."sokong abah pula. Abah tu memang sentiasa sehati sebulat
suara dengan menantu dia tu

"Tapi.."

"Pasal anak-anak jangan risau.. mak ada.. " sampuk mak pula.

"Mak pun boleh tolong tengokkan anak-anak.."mak mertua pula menambah
undi. Aku pandang Aznil. Langsung tak berpeluang bersuara. Sampai hati! Aznil
Cuma senyum sahaja.

"Abang balik ambil barang-barang okey"Aku rasa nak cubit saja
perutnya. Geram! Tak pasal-pasal aku pula kena!

MAK long Cuma diam sambil menghirup sup sayur yang ku bawa. Aku turut kehilangan
kata-kata. Selama tiga hari dia berada di wad akulah yang menemankannya siang
dan malam. Habil dan Hazil ku serahkan pada emak untuk menjaganya.

"Kesian.. dia pernah jadi ibu susu abang.. temankanlah
dia.."pujuknya.

"Abang tau tak mak long tu tak sukakan yan?"

"Tak apa.. masa ni la nak buat dia sukakan Yan.."jawab Aznil
bersahaja.

"Tawar sikit.."terlontar perkataan itu dari bibir mak long. Sejak tiga hari lalu wajahnya sudah tak berseri lagi.

"Mak long tak boleh makan masin-masin.. mak long ada darah
tinggi.." jawabku lembut. Semalam doktor kata mak long ada penyakit lemah
jantung. Mana tak kena sakit jantung, darah tinggi.. nak makan berlemak-lemak
aja.. dulu kutuk sup daging aku tuh masakan orang malas.. sempat aku mengutuk
dalam hati. Ishh jahatnya mulut aku!

"Mak long nak buah?"aku menawarkan buah limau manis yang ku beli tadi.
Mak long memandangku.

"Anak-anak kita tak tahu ke kita dalam hospital ni?" soalnya. Aku
menarik nafas. Pelik juga. Sejak mak long masuk wad tiga hari lalu seorang pun
tak datang menjengah. Tapi aku malas nak ambil tahu sangat. Bukan ke dia kata
anak-anak dia terdidik semuanya? Lagipun aku cuba menjalankan tanggungjawabku
sebaik mungkin itu saja. Dia suka atau tidak terpaksa jugalah mengadap muka aku
24 jam.
Aku tak dapat menahan daripada menguap di hadapannya. Memang aku kurang tidur
sejak dia masuk ke hospital. Bila hari siang Aznil datang dan aku balik ke
rumah sekejap. Mandi, berkemas apa yang patut.. masak untuk suami kemudian baru
menjenguk anak-anak di rumah mak. Sedih juga bila terkenangkan anak-anak yang
berebut-rebut memelukku sebaik saja aku sampai ke rumah nenek mereka.

"Yan.."mak long memandangku.

"Mengantuk ke kamu?"soalnya.

"Tak adalah mak long.. Yan ni dah terbiasa tidur petang.. tu menguap
tu.."aku memberi alasan. Doktor yang merawat mak long ada beritahu aku,
jangan biarkan orang tua itu susah hati atau tersentuh. Bimbang kesihatannya
makin melarat.

Mak long mengeluh berat. Dia merenungku lama.

"Mak long anggap kamu macam anak sendiri. Mana yang tak betul mak long
tegur.. jangan kecik hati" pintanya. Dia memegang tanganku erat.

"Terima kasih kerana menjaga mak long.." pertama kali aku tersentuh
dengan kata-kata itu. Bak seorang ibu membelai anaknya. Dari kelopak matanya
aku lihat ada air mata gugur.

Alamak..

kenapa dia menangis?

"Mak long.. Yan tak ambil hati.. tak kisah.. elok juga mak long nasihatkan
Yan.." balasku. Mak long mengangguk-anggukkan kepala.

"Jangan lupa.. nanti amalkan mandi air sireh.. biar berseri sikit muka..

" Aduii.. baru aku ingat dia dah insaf, rupa-rupanya masih ada lagi!

SEJAK pulang dari hospital tadi aku terasa kepalaku berat. Aku cuba juga
berbaring dan tidur sekejap tapi peningnya masih belum hilang. Alamak..macammana
ni? Nak demam ke badan aku? Soalku sendiri dan bangun perlahan menuju ke dapur.
Dua ulas panadol kutelan lagi. Dah 4 biji makan belum jalan lagi.. Aku menarik
nafas.

Jam sudah pukul 11.00 pagi. Aku sepatutnya sudah bertolak ke hospital kerana
Aznil ada urusan dengan pembekal makanan udang kami. Aku membaringkan badan
sekali lagi di kerusi hadapan. Sungguh, sendi-sendi terasa longgar dan aku tak
mampu nak berdiri lama.

"Yan.. kenapa dengan kamu?"Kak Esah menyapa. Tak sedar bila dia memberi
salam, tahu-tahu saja sudah terjengul di muka pintu.

"Pening kepala.. macam nak demam.."jawabku sambil mengerut dahi
menahan pening. Kak Esah datang rapat. Dia memegang dahiku.

"Ehh.. kau ni demam ni.. " kata kak Esah.

"Agaknyalah kak.."jawabku.

"Kau amalkan tak jamu yang kak Esah bagi tu?"soalnya. Aku angguk.
Sejak mak long datang ke rumah ni memang berdisiplin aku makan jamu. Ulam yang
aku tak pernah makan pun aku sumbat juga ke tekak. Tak larat dengar mak long
berleter.

"Berat badan kau turun tak selepas makan jamu tu?"soalnya.

"Turun 3 kilo kak.."jawabku antara ingin dan tidak.

"Kau dah datang bulan ke belum?"soalnya. Aku menggeleng kepala.

"Agaknya kau mengandung lagi.."Apa? Aku rasa macam nak pengsan
mendengar kenyataan kak Esah. Mengandung lagi? Anak yang dua tu pun baru masuk
setahun dua bulan..

"Biar betul kak.."

"Kak Senah yang makan jamu akak tu pun kata dia mengandung dah 2 bulan..

"Apa? Ala..”

"Yan kena stoplah makan.. " kak Esah tersenyum-senyum. Aku rasa
badanku semakin lembik. Takkan aku mengandung lagi? Kak Esah ni cakap tak betul
langsung. Kata jamu ni untuk menguruskan badan.. ni bukan menguruskan badan
lagi ni.. nak menambah anak pulak jadinya.

"Nak akak tolong apa-apa?"soalnya.

"Akak tolong telefon mak saya.. saya rasa saya tak larat.."pintaku
sambil cuba memejamkan mata. Aku dah penat nak pikir semua ni!!

AKU rasa macam tak percaya.
Pada saat-saat meruncing begini aku dikejutkan dengan berita gembira. Surat
tawaran yang baru diterima tadi masih melekat di tanganku. Aku saja suka-suka
menghantar permohonan hari tu. Tak sangka pula aku berjaya menembusi
beribu-ribu lagi pemohon.

Yan dapat buat degree di USM? soalku lagi. Aznil senyum. Sekuntum ciuman
tahniah melekat di kedua-dua pipiku. Aku bingkas bangun dari pembaringan. Lama
aku merenung Aznil yang begitu gembira sekali.
Bila Yan apply semua ni? soalnya ingin tahu.
Maaf bang.. Yan sebenarnya suka-suka saja.. tak sangka pula Yan dapat buat
course ni..beritahuku. Aznil senyum.
Kalau abang tak kasi Yan tak pergi..

Siapa kata? Abang tak halang Yan nak cari ilmu. Lagipun bukan senang nak dapat
peluang macam tu.. pergilah.. abang izinkan.. Aku memeluk Aznil erat. Sungguh,
aku bahagia mendapat suami yang sangat memahami sepertinya.

Abang, semalam kak Esah datang.. dia kata.. Aku memandangnya lama.

Kak Esah lagi? Dia suruh Yan beli jamu dia lagi? Sudahlah tu.. abang rasa Yan
makan terlebih sangat jamu dan ubat-ubat jadi sakit macam ni.. Nasihat Aznil.
Bukan dia ada beritahu Yan, kak Senah yang ambil jamu dia dua tiga bulan dulu
dah mengandung.. ceritaku.

SO? Aznil masih tak mengerti.
Kak Esah kata, entah-entah Yan mengandung lagi..
Hah? Aznil terlopong. Aku mengangguk.

Yan rasa?

Aku angkat bahu. Rasanya Cuma demam biasa. Tapi kalau aku
termengandung macammana?

Ahh.. jangan percayalah.. Yan rehat dulu okey.. abang nak pergi tengok Mak
Long.. Dia menyuruh aku berbaring. Aku cuma menurut kerana kepalaku begitu
pening sejak tadi.

ARGGHHH TIDAKKK!! Aku terduduk di atas bowl. Positif?? Dalam pening yang masih
beraja di kepala aku perlahan keluar dari toilet. Aznil yang baru pulang segera
memapahku ke katil. Dia menggeleng kepala melihat aku. Sudah puas dia mengajak
aku ke klinik tapi aku enggan. Aku takut apa yang dikatakan kak Esah jadi
kenyataan. Tapi bila menguji sendiri..

Macammana? soalnya ingin tahu. Aku diam.

Positif.. Yan mengandung.. jawabku perlahan.

Iye? Aznil bertanya, bercampur gembira dan terkejut.

Kalau tak pasti kita ke klinik pujuknya. Aku memandangnya. Ingin saja kukatakan
aku belum bersedia untuk menambah bilangan cahaya mata kami. Hidup sekarang ini
pun dah kelam kabut. Aduhhh!! Aku mengurut kepala yang semakin sakit.
Yan okey? soal Aznil. Aku menggeleng kepala dan perlahan berbaring di atas
katil.

Mak menjenguk ke bilik melihat keadaanku. Di kirinya terkelek Hazil yang baru
lepas mandi.

Macammana dengan Yan? soal mak.

Entah, dia kata Hazil nak dapat adik seorang lagi.. jawab Aznil.
Apa? Alhamdulillah.. rezeki.. mak senyum. Aku Cuma mendiamkan diri.

Apa nak susah hati pulak? soal mak bila menyedari reaksiku selepas mendengar
berita itu.

Yan tak bersedia lagi mak.. jawabku berterus terang.

Dah tuhan nak bagi.. takkan kau nak buang pulak.. kata-kata emak itu membuatkan
aku terdiam.

Tak apa.. mak ada.. insyaAllah.. semuanya selamat.. mak memberi semangat. Aku
mengeluh berat. Dalam hati aku rasa nak saman saja kak Esah!!

Yan nak kemana pulak tu? soal Aznil bila melihat aku bangun dari duduk.

“Kita pergi klinik bang.. Yan tak puas hati..” Aznil cuma menurut saja kemahuanku.
Doktor Fauziah tersenyum sambil menatap wajah aku dan Aznil. Dia mencatit
sesuatu pada laporannya.

“Puan Dian cuma demam biasa.. sakit kepala tu kerana puan terlalu banyak memikir
dan kurang tidur.. saya dah periksa semua okey.. Cuma banyakkan rehat dan minum
air masak. Ujian kehamilan, puan tak hamil..” Aku mengeluh lega. Aznil nampak
sedikit kecewa tapi dia masih erat menggenggam tanganku.

“Period datang lewat tu biasalah.. bagi ibu-ibu muda macam Puan stress sikit..
jangan bimbang..” sambung doktor itu lagi. Aku tersenyum.

“Puan ada makan ubat apa-apa ke atau jamu ke?”

“Ada..”

“Ohh.. tu mungkin alahan pada tubuh puan.. tapi tak membawa mudarat.. jangan
risaulah.. saya pun mula-mula pening juga..” jelas Doktor itu.

“Eh.. doktor pun makan jamu?” soalku terkejut.

“Mak saya pakar buat ubatan tradisional.. kita sekarang ni kena jagalah Puan..
lagipun bagus.. bahan semulajadi bebas dari bahan kimia..” terang Doktor Fauziah
lagi. Aku tersenyum. Saat itu aku terbayang daun kesum, pucuk ubi, dan berbagai
ulaman yang menjadi kemestian sejak mak long hadir dalam hidupku.

“Kalau macam tu saya memang tak mengandunglah?”

Doktor Fauziah mengangguk lagi.

“Terima kasih doktor..” ucapku dan Aznil sebelum bangun. Sementara menanti ubat
siap dan Aznil membayar bil aku terkenangkan mak long. Tiba-tiba rindu pula nak
dengar leteran membinanya itu.

“Kenapa ni?” soal Aznil.
“Kita tengok mak long kat hospital bang..” pintaku. Alang-alang dah ke bandar ini
baik aku ke sana. Lagipun aku dah sihat sikit.

“Lupa abang nak beritahu. Mak long dah tak ada di wad tu lagi. Pihak hospital
pindahkan dia ke HKL untuk rawatan lanjut” jelas Aznil.

Apa?

“Siapa yang nak jaga dia kat sana?” soalku. Sedangkan di wad di hospital sini pun
seorang anak tak menjenguk, inikan pula di HKL. Aznil menarik nafas.

“Abang terharu bila Yan sanggup jaga mak long hari tu. Sebenarnya mak long tu
terkilan. Anak-anak dia nak masukkan dia ke rumah orang tua-tua. Sebab tu dia
nak datang ke sini. Abang tak nafikan anak-anak mak long semua berjaya. Tapi,
tak sangka mereka sanggup nak hantar ibu sendiri ke rumah orang-orang tua” Aku
terdiam mendengar penjelasan dari Aznil.

“Hari mak long datang ke rumah kita tu.. sebenarnya dia bertengkar dengan
menantunya. Faham sajalah mulut dia tu bising tak berkenan itu ini.. sudahnya
dia kena halau. Mujur Izan ada.. dia la telefon mak beritahu..” jelas Aznil lagi.

Aku mengangguk faham. Sedetik, wajah mak long terbayang di ruang mata.

“Mak long hadiahkan Yan ini sebab menjaga dia..” Aznil mengeluarkan sebentuk
cincin emas dari bekas baldu. Aku terpaku. Mak long!

Rupa-rupanya banyak perkara yang perlu aku pelajari di dunia ini. Sebaik saja
melangkah ke alam perkahwinan, banyak yang perlu dikorbankan. Permulaan hidup
ialah tolak ansur antara suami isteri. Bila meniti tahun demi tahun aku pasti
akan bertemu kerenah demi kerenah antara keluarganya.

Setelah masuk tahun kedua perkahwinan, aku teruji dengan sikap mertua yang
ku rasa cuba mencampuri urusan hidupku suami isteri. Tapi, bila ku fikirkan,
alangkah bertuahnya aku dikurniakan oleh ibu mertua yang mengambil berat. Aku
tak sepatutnya melulu menuduh dia cuba merampas privacy ku. Lihat saja mak
long.. memang mulutnya buat aku rasa panas hati tapi.. bila terjadi perkara
begini baru ku sedar disebalik teguran dan rungutan mereka.

Sebenarnya ilmu rumah tangga yang tersimpan pada mereka harus ku selongkar.
Mereka sudah berpuluh tahun hidup dalam onak duri dan gelora rumahtangga.
Rencah kehidupan mereka membuatkan mereka ingin melihat kebahagiaan anak
menantu, agar ikatan perkahwinan semakin utuh dari hari demi hari. Tapi, seringkali nasihat-nasihat emas mereka itu disalah erti oleh orang yang berfikiran seperti aku.

Aznil memeluk bahuku.

“Kalau ada masa kita lawat Mak Long di KL..” okey? dia tersenyum.

“Kenapa ni? Rindu ke?” usik Aznil. Aku Cuma tersenyum.
“Kan abang dah kata.. mak long tu baik kan? Cuma silapnya dia lahir tahun itik..
tu mulut dia bising..”

Urusan pendaftaran sudah pun selesai. Semua barang-barang keperluan sudah dihantar ke kolej kediaman. Aku segera mendapatkan Aznil bersama anak-anak kami yang menanti di tempat parking. Sebentar kemudian kembara hitam itu melucur laju meninggalkan kawasan Dewan Siswa Cahaya Permai dan menghala ke arah Pantai Merdeka. Kami beriringan sambil
memimpin anak di kiri kanan. Habil dan Hazil cukup riang melihat beberapa
burung-burung camar yang beterbangan di tengah laut. Abah, emak dan adik-adikku
kembali ke hotel setelah urusan pendaftaranku selesai awal jam satu tadi.

Bunyi ombak yang menghempas pantai membuatkan hatiku terasa damai. Habil dan
Hazil riang berdiri di tepi tembok sambil menuding ke arah permukaan laut.
Kelihatan ikan-ikan todak sedang bermain di gigi air membuatkan anak-anakku
tertawa gembira. Mungkin terasa geram ingin mencekup ikan-ikan itu agaknya.

“Yan…”

Aku berpaling. Aznil tersenyum sambil tangannya menghulurkan sejambak mawar
merah muda kepadaku.

“Dah lama abang tak bagi bunga pada Yan kan?” Aku tersenyum lantas menyambut
hulurannya.

“Yan.. jangan lupakan abang tau.?” Aznil tiba-tiba berpesan.

“Kenapa pula Yan nak lupakan abang..” aku memeluk pinggangnya erat.

“Yan mesti janji akan balik dengan segulung ijazah tepat pada masanya.Abang
akan sentiasa menyokong Yan..” Aznil tersenyum.

“Insyaallah. Yan cuma perlukan restu dan sokongan abang” pintaku . Aku menarik
nafas panjang.

“Abang.. Yan harap kita akan berjaya membentuk keluarga kita.Yan nak Habil dan
Hazil terdidik dengan sempurna. Apa yang terjadi selama ini membuatkan Yan
sedar betapa pentingnya peranan Yan sebagai seorang ibu”.

“Maksud Yan?”

“Yan tak mahu nasib Yan seperti apa yang telah terjadi kepada Mak Long. Yan
mahu anak-anak kita kenal apa erti kasih sayang sebenar, tanggungjawab mereka
terhadap ibu bapa dan yang paling penting, kita perlu didik mereka bukan
berkaitan akademik sahaja, tapi nilai-nilai murni dan tanggungjawab sebagai
seorang anak. Macam abang…” Aznil cuma tersenyum mendengar kata-kataku.

“Kesian Mak Long….” Itu sahaja yang terlontar dari mulutnya. Aku turut
bersimpati atas apa yang telah terjadi. Mak Long telah menghembuskan nafasnya
yang terakhir selepas dua minggu berada di HKL. Urusan pengkebumiannya juga
dibuat tanpa sempat menanti anak lelakinya pulang daripada bercuti di Eropah.
Aku menarik nafas panjang. Sedih mengenangkan Mak Long, ibu susu Aznil yang
dipinggirkan anak-anak setelah kesemuanya berjaya dalam hidup.Kata Aznil, Mak
Long yang bersusah payah membesarkan anak-anak dengan menjual nasi lemak.
Selain itu dia juga menjadi tukang cuci di sebuah motel yang tedapat di bandar
Ipoh. Suaminya seorang kaki judi, langsung mengabaikan tanggungjawab sebagai
seorang bapa.

Sehingga ke hari ini aku kesal dengan sikapku yang langsung tak terfikir untuk
menjaga hati Mak Long dulu dengan ikhlas. Andainya aku tahu apa yang terjadi,
sudah tentulah Mak Long ku jaga seperti ibu sendiri. Aznil memegang bahuku.

“Yan.. Izan telefon abang semalam…”

“Dia dan suami nak mengerjakan umrah tak lama lagi. Dia ucapkan tahniah sebab
Yan dapat ke USM…”

Aku senyum. Teringatkan gadis yang pernah merebut keharmonian rumahtanggaku
dulu. Itu juga satu ujian yang perit untukku. Tetapi, ternyata demi cinta yang
utuh, badai itu mampu kami lalui bersama. Biarpun aku pernah membencinya dulu,
tapi kini semuanya telah ku lenyapkan. Dia juga sedang berbahagia dengan suami
dan permata hatinya. Tiada yang lebih bermakna jika kita meraih bahagia atas
cinta yang tercipta atas landasan yang betul Izan!

Habil dan Hazil ku rangkul erat. Kedua pipi gebu itu ku kucup penuh kasih sayang.
Demi kebahagiaan masa depan, demi Hazil dan Habil, mama terpaksa tinggalkan
anak-anak mama ini. Mama berjanji akan menjadi contoh terbaik untuk anak-anak
mama. Aznil menepuk bahuku.

“Sudahlah tu Yan… mari abang hantar Yan ke kolej….” Aku angguk. Haripun sudah
beransur petang dan aku perlu hadir sebelum pukul lapan untuk sesi suaikenal.

Tanganku erat menggenggam tangan Aznil. Langkah kami atur bersama meninggalkan
pantai lewat petang itu.

“Yan, abang cintakan Yan..” bisiknya kepadaku.

“Yan juga… “ balasku.

Hanya Tuhan saja yang mengerti saat untuk aku berpisah dengan Takagiku ini.
Semoga rahmat sentiasa mengiringi rumahtangga kami. Berkatilah doaku ini Tuhan!

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...