05 Jun 2011

Diana Adurah (Siri 5)

Seketika kemudian aku lihat dengan selamba dia tunduk dan mengucup dahi Aznil,membuatkan nafasku terasa terhenti. Izan senyum sinis memandangku. Aku tak tahu apa yang harus aku buat. Cuma yang terkeluar hanya tangisan kecil dari sudut hati yang telah berdarah.

Memang sudah ku duga dari hari pertama dia hadir dalam rumahtangga kami.
Kemesraannya.. layanannya.. renungannya.. Dugaan apakah ini, seorang perempuan
begitu terang terangan mencabar kewaibawaanku?

"Kenapa? Marah?" Izan senyum lagi.

"Lebih baik awak tinggalkan rumah ini.." perintahku.

Aznil tiba-tiba terjaga dari tidur.

"Yan.. kenapa marah-marah ni?" soalnya dalam keadaan yang masih lemah.
"Yan tak mahu lihat kawan abang ni berada di rumah kita ni walaupun sesaat..”

"Yan! Apa salah Izan?" soal Aznil.

"Nil.. tak apalah.. I boleh keluar.. lagipun I tak nak ganggu keharmonian rumahtangga you.. I fahamm.." Izan buat muka sedih. Berlakon!

"Jangan Izan, Yan.. abang nak Yan minta maaf dengan Izan.. Abang tak akan benarkan, ini keputusan abang.." tegasnya. Aku tergamam, tambah melihat senyuman sinis dari Izan.

"Abang nampaknya lebih perlukan dia dari Yan.." aku tatap wajah Aznil lama.

"Kalau dia tak pergi, Yan akan pergi," Aznil merenungku lama.

"Dua-dua abang tak benarkan”.

"Baik.. kalau macam tu Yan yang akan buat pilihan. Biar Yan yang pergi.." Aku terus meluru keluar. Dengan langkah yang deras air mata turut mengalir tanpa henti.


**********
Biar berbuih mulut mak memberi nasihat.. biar gugur sampai botak rambut abah menyebut dosanya keluar rumah tanpa izin suami namun aku tetap dengan keputusanku. Kalau dia bahagia dengan Izan, teruskan.. yang pasti aku tak mahu jadi perempuan bodoh yang mendambakan seorang lelaki tak setia!

"Tak diterima tuhan segala amalan seorang isteri yang derhaka.." pesan abah terngiang-ngiang di telinga.

Memang aku takut berdosa.. tapi dalam keadaan begini aku tak dapat nak berdepan dengan mereka. Terbayang-bayang di mata bagaimana Izan mencium suami sendiri..tu depan mata aku .. di belakang aku bagaimana?

"Yan.. keluar sekejap.." suara abah kedengaran. Aku mengeluh lemah dan menurut perintah. Abah sedang menanti di ruang tamu. Mak juga ada sama.

"Duduk," sepatah lagi perintah keluar. Aku patuh dan duduk.

"Apa lagi silapnya abah ni agaknya.. tak kawinkan kamu susah.. dah kawin
pun susah.." keluh abah.

"Apa masalahnya ni?" soal abah. Aku diam. Sememangnya sejak tiga hari lalu aku tak bercerita apa-apa. Lagipun aku tak mahu mak ayah susah hati.

"Pak mertua kamu ada jumpa ayah tadi di kedai.. dia pun tanya khabar kamu.. " terang abah lagi.

"Buat apa lagi dia nak ambil berat pasal Yan abah.." itu saja yang keluar di kerongkongku saat ini.
"Tak kesian ke kamu kat dia Yan.. dahlah demam teruk.. kamu tinggalkan dia sorang-sorang pulak kat rumah.." ujar mak.

"Baru dua bulan kawin.. inai masih ada lagi tu" Abah memandangku lama.
Bukan dia tak tahu perangai keras hati anak dia ni!

"Yan masuk dulu bah.." aku bingkas bangun dan masuk ke bilik.

Aku menutup pintu bilik perlahan. Kemudian merebahkan diri di atas katil. Aku tahu tindakan aku ini salah. Tapi apakan daya andai suami sendiri lebih memihak pada perempuan lain. Bermakna dia lebih sukakan perempuan itu dari aku! Aku belek surat tawaran bekerja di MMU yang baru kuterima tadi. Ingatkan dah tak ada harapan dah kerana sudah lebih dua bulan temuduga berakhir. Tak sangka pula aku terpilih untuk menjawat jawatan tersebut.
Bagaimana sekarang? Aku menarik nafas. Kalau jodoh aku dengan Aznil sampai setakat ini apa lagi nak dikata. Aku tak akan merayu supaya dia melupakan perempuan itu. Bagiku sedalam mana cinta dan sayangku pada Aznil, tapi andainya cinta dia untukku sudah tiada..segala-galanya sudah tak bermakna. Buktinya sudah tiga hari aku di sini tapi dia langsung tidak menelefon, jauh sekali datang menjenguk. Aku belek gambar perkahwinan kami yang terpaku di dinding.

Betulkah aku tak akan kecewa jika kehilangan dia? Aku sendiri tidak tahu tapi
yang pasti.. aku amat merinduinya. Sangat-sangat..

AKU terjaga bila mentari sudah menyuluh muka. Alamak.. terbabas subuh! Aku cepat-cepat bangun dan mencapai tuala. Di dapur kelihatan emak sedang mengemas meja makan.

"Kenapa mak tak kejutkan Yan?" soalku sambil menarik kerusi dengan tuala tersangkut di leher.

"Mak baru balik dari rumah mak mertua kamu.. Aznil demam teruk Yan.. kesian dia.. makan pun tak lalu.." mak merenungku lama.

"Jadi?" soalku acuh tak acuh.

"Along.. tak baik along tinggalkan abang macam tu.. along patut di sisi abang.." Fina yang sedang menunggu result SPM mencelah.

"Kawan dia tu ada lagi?" soalku.

"Tulah Fina nak cerita ni.. sepanjang along tak ada kak Izan tu yang tolong jaga.. " amboi.. melampau!

"Baguslah ada orang jaga.. so tak payah Yan susah-susah kan mak?" sahutku dan masuk ke bilik air. Mak cuma menggeleng kepala. Degil!

Ahh.. mak sebagai perempuan, mak tentu faham perasaan Yan sekarang ini.. suami adalah segala-galanya setelah Yan bergelar isteri. Tapi kini Yan rasa dikhianati.

"Kau dah fikir habis-habis Yan?" soal Embun sambil menyedut air sirapnya.

"Dah.. dah nak pecah dah ni fikir.."

"Bercerai ni bukan satu jalan penyelesaian.. kalau boleh berbincang dulu.." nasihat Qursiah.

"Kau baru dua bulan bersama.. "

"Tapi apa maknanya aku jadi isteri dia kalau dia lebih sukakan perempuan tu.." balasku.

"Kau dengar dia cakap sendiri?" soal Embun lagi.

"Dia yang menghalang perempuan tu pergi.. so apa lagi? Dah terbuktikan?"

"Yan.. kau kena banyak bersabar.. banyak lagi dugaan yang kau tak hadapi.. ni baru sikit.. " nasihat Embun lagi.

"Entahlah Embun.. sebenarnya aku sayangkan dia.. tapi bila jadi macam nie aku rasa macam perempuan bodoh.."

Aku cuba menahan air mata daripada luruh namun gagal. Akhirnya aku tersedu-sedu di bahu Embun.

"Yan.. kau kena banyak sabar.. sembahyang.. minta petunjuk dari Allah.."

Aku cuma angguk. Mungkin ini adalah dugaan untuk menguji kasih sayangku..mungkin..

"YAN dah fikir habis-habis.. Yan rasa abang lebih sukakan dia.."

"Kenapa Yan cakap macam tu? Abang tak tahu apa salah Izan pada Yan.. malah dia yang advise abang suruh telefon Yan ni.."

"Abang lebih percayakan dia?" soalku.

"Kalau dia nak merampas kebahagiaan yang sedang kita bina ni tak mungkin..abang kenal dia dah lama.."

"Betullah kan apa yang Yan katakan tadi abang lebih perlukan dia.." Aku terasa air mata dah turun laju tapi kutahan.

"Yan.. abang nak Yan balik ke rumah kita.. jangan kerana perkara kecil macam ni kita terpisah.."

"Yan akan balik.. setelah Izan pergi.." tegasku.

"Yan.. kenapa Yan keras hati sangat?" soal Aznil kecewa.

"Tak apa la.. abang pun bahagia dia ada di sana.. Yan nak beritahu.. esok Yan nak ke KL"

"Kenapa? Yan nak buat apa?"

"Yan nak kerja.. Yan nak bina hidup baru.. "
"Yan.. janganlah kerana perkara kecil ni Yan ambil keputusan terburu-buru.."

"Yan tak dapat maafkan perempuan yang sanggup mencabar kesabaran Yan..
maafkan Yan!" Gagang telefon kuletak segera. Aku jenguk ke kiri kanan. Mujurlah semua sudah tidur.. jadi tiada siapa tahu apa yang ku katakan pada suamiku tadi. Dalam gelap aku merenung masa depan. Andai cinta itu sudah tiada kurelakan segala-galanya terjadi.. walaupun aku yang akan tersungkur kerana luka ini..

"DIAN, kamu dah gila ke?" soal abah namun aku buat tak tahu. Beg pakaian sebesar tong beras kupikul ke tangga. Mak dan Fina Cuma menggeleng kepala. Memang mereka tak faham keadaan hati aku yang dah remuk ni. Tapi demi Allah, kerana aku sayangkan Aznil aku mengambil keputusan untuk mengundur diri.

Aku tak mahu menjadi penghalang kehendak hatinya, jauh sekali menjadi punca keretakan hubungannya dengan Izan.

"Mak, Yan pegi dulu ye?" aku meraih tangan mak dan menciumnya.

"Yan.. dengarlah nasihat abah ni.. berdamai.. kalau perempuan tu puncanya kita selesaikan sekarang.." abah memegang bahuku.

"Cemburu biar bertempat Yan.." mak pula bersuara. Aku Cuma tersenyum.

Ni bukan kes cemburu dah mak.. ni kes nak mati dah ni kalau Yan diam jer..sekurang-kurangnya biar si Aznil tu tahu aku bukan perempuan bodoh! Aku mengangkat beg dan melangkah menuju ke arah jalan raya. Aku sendiri tidak pasti ke mana harus aku tuju. Semalam aku sudah menelefon Mahani teman seuniversiti dulu. Dia sanggup menumpangkan aku sementara aku mendapat rumah sewa di sana nanti. Lagipun, untuk ke Cyberjaya aku perlu menaiki bas ke Putrajaya. Ahh..
soalnya sekarang aku ke KL dulu..

"Along! Along tunggu!" Langkahku terhenti. Belum sempat aku melepasi laman Ina sudah berteriak dari tingkap. Tergesa-gesa dia turun dan mendapatkanku. Ina memegang lenganku.

"Mak Ngah Som telefon, dia kata abang Nil masuk hospital.." Apa? Beg terlepas dari pegangan. Serius benarkah sakit dia? Aku pandang abah dan mak. Tapi mulutku berat untuk mengungkap sesuatu. Abah dan mak seakan faham dan segera menuju ke van.

"Mari kita ke hospital," ujar abah dan aku masuk ke dalam van tanpa banyak soal.

AKU masih berdiri di luar pintu. Nak masuk ke tidak ni.. nak masuk ke tidak.. aku lihat semua ahli keluarga Aznil berkumpul di katilnya. Malu pun ada pada mertua kerana perbuatan aku yang memang dahsyat ini.

"Yan, buat apa kat sini?" Opocot! Aku berpaling. Wajah bapa mertuaku sedang tersenyum itu ku tatap.

"Abah.. maafkan Yan abah.." Aku terasa air mataku dah menitis. Abah senyum dan mengusap kepalaku lembut.
"Dah la tu.. adatlah rumah tangga.. mari tengok suami kamu.." Dia menarik lenganku masuk ke dalam wad. Aku segera merapati Aznil yang tersenyum.
Tangannya kukucup dan kugenggam erat.

"Yan minta maaf bang.. Yan tak sangka sakit abang seteruk ini.." pintaku.

"Doktor kata abang demam biasa jer.. tapi.. sakit di hati Yan tu lebih lagi kan.. abang minta maaf.. abang tak sepatutnya mengutamakan kawan abang dari isteri yang paling abang sayang.." pintanya lagi.

"Abang.. Yan tak halang abang berkawan tapi.."

"Abang dah tahu segala-galanya.. memang wajar Yan menyuruh dia pergi dari hidup kita.. abang sendiri tak sangka Izan selama ini mencintai abang.. tapi sungguh Yanlah orang yang abang cintai.. tak ada orang lain lagi.." kata-katanya membuatkan aku malu. Dahlah semua orang ada di sini.

"Dengar tak tu?" mak menjeling. Aku Cuma tersenyum. Iye mak.. salah Yan..

"Yan ambil abang air Yan" pintanya. Aku segera bangun tetapi tiba-tiba saja terasa pandanganku gelap. Eh kenapa ni?

"Yan.. Yan!" Suara-suara itu kedengaran sayup di cuping telinga.

MAK , abah, ibu Aznil dan ayahnya tertawa kelucuan. Eh.. kenapa pulak ni? Aku cuba bangun tapi dihalang oleh Aznil. Aikkk.. apasal pulak aku yang baring atas katil pesakit ni?

"Bang.. kenapa dengan Yan ni bang? Apasal Yan pulak yang baring
sini?" soalku. Aznil tersenyum sambil mengucup dahiku.

"Abang tak tahu nak cakap macammana.. abang gembira sangat.." ucapnya
sambil tersenyum-senyum. Mak dan abah juga turut tersenyum.

"Kau ni suka sangat buat lawak la Yan.." Kak Sal sudah tertawa kecil.

Lawak? Apa yang lawak ni?

"Tadi kau pitam.. doktor dah check.. tahniah.. tak lama lagi jadi
ibu.."

Apa?? Aku ternganga, betul ke apa yang aku dengar ni?

"Yan dah pregnant, sebulan lebih.." tambah Kak Sal lagi. Apa? Dah sebulan lebih? Biar betul.. tapi.. tak pernah pun aku muntah-muntah ke apa..

"Tapi.. tak ada tanda-tanda pun Yan mengandung.." soalku keliru. Mak
menggeleng kepala.

"Bukan semua orang yang mabuk-mabuk.. ni contohnya.. suami kau ni yang
demam teruk, rupa-rupanya nak jadi ayah. mabuk-mabuk kau tu kena kat
dia…" seraya itu mereka tergelak kelucuan. Hah? Aku pandang Aznil yang
tersenyum ceria.

"Patutlah abang selalu pening-pening.. loya-loya.. Yan pulak badan naik
semacam.. ada orang baru nak datang.." usiknya. Aku turut tersenyum.

Malunya! Barulah aku perasan, adik-adik dan suami komplen badan berisi, rupa-rupanya perut aku yang berisi..

"Lain kali kalau nak marah sangat pun, siasat dulu.. ini sampai nak tinggalkan kampung halaman.." aduii.. pedihnya kata-kata mak. Tapi, bukan salah aku.. kalau tak terjadi perkara itu sah mereka tak tahu berita gembira ini.

"Tak apalah.. yang penting tak lama lagi kita akan dapat cucu.." ibu mertuaku tersenyum sambil memelukku.

"Lepas ni jangan nak bergaduh-gaduh lagi.. jaga isteri kamu baik-baik Aznil.." pesan bapa mertuaku.

"Baik abah.."

"Si Dian pun sama.. jangan nak tunjuk-tunjuk perasaan.. suami isteri ada masalah bincang.. bukan sorang ke sana sorang ke sini.. ni dah nak dapat anak.. dengar tak ni Yan?" aku angguk mendengar nasihat abah.

"Abah nak ke surau ni.. kejap lagi abah dan mak datang balik.." Abah, mak serta bapa dan mak mertuaku beredar meninggalkan katil begitu juga Kak Sal suami isteri. Aznil merenungku lama.

"Kenapa abang renung Yan?" soalku.

"Abang tengok Yan nie semakin.."dia senyum.

"Semakin apa?"soalku sambil membalas genggaman eratnya.

"Semakin tembam!" Apa? Seraya itu lengannya kucubit membuatkan dia tertawa kecil.

"Ohh.. kutuk kite ye.."

"Tak.. Yan ni suka buat lawaklah.."

"Kenapa pulak?"soalku.

"Iyelah.. Yan tu marah lebih.. tapi sayangnya kat abang ni tak terhingga
betul tak?" soalnya.

"Kalau tak takkan abang sedar salah abang kan?" soalku kembali. Aznil mengangguk setuju.

"Abang marah ke Yan balik ke rumah mak?" soalku.

"Marahlah jugak.. pasal Yan tak nak jaga abang.. nasib baik ada Izan.." usiknya.

"Abang ni!" Aznil tertawa melihat aku mula merajuk.

"Boleh abang tahu kenapa Yan marah sangat pada dia?" soalnya. Aku menggeleng kepala. Biarlah itu menjadi rahsia kami berdua sahaja. Lagipun dia sudah pergi jauh dari hidupku.

"Tak apalah.. yang penting abang tetap setia pada Yan. Janganlah Yan bimbang.. Kita bina hidup baru.. dengan baby yang bakal lahir ni, okey?"

Aku angguk. Aku berjanji sendiri.. demi Aznil yang kucinta, demi rumahtangga kami yang sedang meniti bahagia ini..aku tidak akan terburu-buru lagi dalam membuat pertimbangan. Terasa hidupku bermaya kembali, terima kasih mak, abah kerana menemukan Yan dengan suami sebaik ini!

"Yan sayang abang.." ucapku tulus.

SESUDAH solat subuh tadi Dian terus tidur. Lena sekali dia di peraduan, jadi aku malas nak ganggu dia.

Setelah siap mengenakan uniform aku terus ke dapur. Biasalah.. uniform ladang..kan ke aku ni peladang berjaya? Seperti biasa sejak beberapa bulan yang lalu dapur seolah sebati dengan aku. Mana taknya.. si Dian bila bau gulai aje uweeekk.. bila dengar minyak ditumis aje dah terbaring pening. Tak sangka pulak selepas dua bulan mengandung dia alah teruk. Kesian isteri aku.. sebagai suami yang baik aku kenalah sabar kan..

"Aznil.. buat apa tu?" Aku menoleh. Eh.. mak mertua aku rupanya.

"Ohh.. mak.. masuklah mak pintu tu tak kunci.. dari mana?" soalku sambil membukakan pintu yang memang tidak dikunci. Pagi tadi aku pergi membuang sampah yang tak sempat dibuang semalam. Sebelum mem kat dalam tu bising sampah penuh baik aku buang. Bukan takut bini tapi aku tahu memang sifat dia tak suka sampah dibiar bemalam-malam. Lagipun hidup sebagai suami isteri ni kenalah tolak ansur kan, tambahan pulak dia sedang mengandung tu.

"Dian mana?" soal mak sambil meletakkan seplastik buah nangka yang sudah dikupas.

"Tidur, mak sarapan sekali sini okey?" pelawaku. Mak Cuma tersenyum,bukan dia tak tahu sarapan bujang aje.. milo dengan roti. Itulah yang aku telan sejak Dian mengandung. Kalau malas nak buat air aku akan ke warung Pak Ali di simpang sana pekena kopi O dan nasi lemak Bedah Janda.

"Ni, mak ada bawakan lempeng pisang, makanlah"

Wah.. wangi bau lempeng yang dipanggang di atas kuali membuka selera. Aku tersenyum. Bagus dapat mak mertua yang perihatin.

"Susah mak jer.. abah ke mana?" soalku bila melihat tiada pun kelibat bapa mertuaku.

"Dah ke bandar.. hantar anak si Leman Rongak tu masuk asrama.. makanlah kamu tu.. mak nak jenguk tuan puteri kat dalam tu.." ujar mak dan bangun masuk ke dalam.
Aku melihat hari di luar kian cerah. Alamak.. dah pukul 7.10.. segera aku capai kunci motor di atas peti sejuk. Takut tauke Mod dah datang menanti buah-buah belum siap. Semalam dah berjanji nak serahkan mangga harum manis sebanyak 10 bakul. Beginilah jadi peladang.. teringat kata-kata Izan tempoh hari. Aku akan susah kalau menolak ajakannya bekerja di syarikat abangnya. Tapi aku yakin,andai kita berbudi pada tanah, tekun dan gigih aku juga mampu menjadi usahawan berjaya.

Mujurlah abah sering menyokong. Ramai juga yang terkejut dengan keputusan aku untuk menjadi petani dulu. Penat-penat belajar Kejuruteraan akhirnya memilih untuk tinggal di kampung. Tapi aku memikirkan siapa lagi yang akan menjaga ibu bapaku yang sudah tua. Tambahan pula tanah berekar-ekar tidak diusahakan. Baik aku buat sesuatu pada ladang mangga abah yang baru naik itu. Sekarang ini aku ada satu lagi perancangan. Tanah seluas 3 ekar di hujung kampung sana akan ku tanam pelbagai spesis tanaman herba. Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan macam-macam lagi memang sudah sedia ada pada tanah terbiar itu. Yang selebihnya aku sudahpun berbincang dengan Osman, Pegawai Penyelidik di UPM, juga classmate aku semasa di PPP dulu.

Aku tiba di ladang dalam 10 minit sahaja. Kelihatan dua orang pembantuku Usin dan Ali sedang sibuk memetik buah mangga yang sudah matang. Dalam pukul sepuluh nanti Tauke Mod akan mengambil hasil ladang abah ini.

"Bang, kat ujung sana tu dah ada tiga bakul.." beritahu Ali sewaktu aku merapatinya. Aku mengangguk.

"Pilih buah-buah yang elok sikit Ali, yang sebelah sana tu jangan petik lagi.. habiskan yang sebelah sini dulu, okey?" Ali mengangguk faham.

Aku menuju semula ke motor setelah melihat semuanya berjalan lancar. Kemudian aku menghala pula ke arah sekolah. Kolam-kolam udang harimau dan ikan keli aku pun kena jenguk juga. Kadang-kadang macam YB pulak aku ni.. ke hulu ke hilir. Tapi nak buat macammana, adik-beradik lain memang tak berminat untuk tinggal di kampung, apatah lagi nak mengusahakan ladang-ladang dan kolam macam aku. Mujurlah aku dikurniakan seorang isteri yang tak kisah, sanggup bersama-sama hidup di kampung ni, menyimpan Diploma Sains
Kesetiausahaannya di rumah, macam aku jugak! Bercakap pasal si Dian.. memang susah untuk aku memahaminya. Iyelah..kawin pun pilihan keluarga. Perasaan cinta tu mekar bila dah masuk ke alam rumahtangga..lagipun, Dian nie suka menyimpan perasaan, mulut kata tak suka, dalam hati kata sayang.. Depan kita berlagak tak ada apa-apa.. belakang kita menangis bagai nak runtuh jealousnya..

Tapi yang specialnya, Dian seorang isteri yang baik, anak yang patuh pada orang tua.. Cuma kadang-kadang tu suka jugak tunjuk protesnya… tapi yang pasti aku tahu dia teramat-amat menyayangi aku. Aku tahu dia bimbang aku menduakannya.. satu perkara yang aku rasa semua perempuan di dunia ini takuti. Memang aku seorang yang happy go lucky, mudah
mesra, tambahan pulak dikurniakan wajah yang agak memuaskan, ramai jugaklah admirers. Ahh perempuan.. kadang-kadang sensitif sangat.. aku bergurau nak tackle Mak Siah Sanggul Tinggi tu pun boleh satu hari suntuk mogok lapar. Takkan la aku nak pegi tackle Mak Siah yang dah masuk 50 tahun tu..

"Ala.. Mak Siah tu kan ada ilmu.." Aku tertawa bila Yan mula buat
muka.
"Abang main-main aje la.."

"Ah! Main-main apa.. tu hari-hari Mak Siah tu telefon tau! Mana Yan tak geram dengan abang tu!" Yan menarik muka masam. Kain yang sedang dilipatnya dicampak ke tepi.

Huyyoo.. marah betullah tu..

"Ala.. dia telefon nak tanya khabar.. tak salah kan?" soalku.

"Abang kan tahu dia tu pantang orang layan, tak kira tua muda.. dulu abah tu pun kena macam tu jugak bila abah tumpangkan dia ke bandar.. "

Heh..pak mertua aku pun kena jugak?

"Iyelah.. tapi kan Yan.. abang tengok Mak Siah tu lawa apa.. pinggang ramping.. peh.. cun lagi la.. tak nampak umur dah dekat lima puluh.." sengaja aku menyakatnya.

"Abang ni! Malaslah nak layan!" dan aku cuma tertawa bila dia bersusah payah bangun membawa perutnya masuk ke bilik.

Aku melawat dari sebuah kolam ke sebuah kolam. Alhamdulillah.. sejak Dian mengandung rezeki kami begitu murah. Agaknya inilah dia rezeki anak yang bakal lahir nanti. Kalau tak silap dalam tiga minggu lagi aku akan bergelar bapa. Si Dian pun nampaknya dah sarat benar. Berdebar-debar juga hati ini menanti kehadiran orang baru.

"Abang, ada call!"Teriak Rusiah. Aku segera berlari ke bangsal.

Telefon bimbit bertukar tangan.

"Hello,"

"Hello Nil," Errkk.. aku terkedu.

"Izan.. ada apa U call I?" soalku.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...