29 Disember 2011
Usah Terlalu Banyak bertanya
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda “Biarkan aku apa yang aku biarkan kepada kamu. Sesungguhnya kebinasaan umat sebelum kamu adalah kerana pertanyaan dan penentangan mereka kepada nabi-nabi mereka. Jadi, jika aku melarang sesuatu atas kamu maka tingggalkanlah dan jika aku memerintahkan sesuatu maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan kamu” (Riwayat Bukhari & Muslim)
1) Jangan terlalu banyak bertanya
Al-Maidah [101] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
Jangan terlalu banyak menyoal seperti umat terdahulu, seperti yang diceritakan dalam surah Al-Baqarah. Kisah penduduk dua buah kampung yang bertemu Nabi Musa untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan.
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”.
Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?”
Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”. (67)
Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?”.
Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”. (68)
Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?”.
Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”. (69)
Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya) dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”. (70)
Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang) dan tidak pula (digunakan untuk mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”.
Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”.
Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu. (71)
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan. (72)
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya. (73)
2) Tinggal apa yang dilarang dan ikut apa yang disuruh mengikut kemampuan
Misalnya jika tidak mampu sembahyang berdiri kerana uzur, boleh sembahyang secara duduk, jika tidak mampu juga boleh sembahyang sambil baring atau tidur.
Taghabun [16] Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan