22 Julai 2012

Sa`ad ibn Abi Waqqas-“Singa yang menyembunyikan kukunya.”

Kehebatan Sa`ad ibn Abi Waqqas

Kehebatan Sa`ad ibn Abi Waqqas dalam Perang Qadisiyyah..Sa'ad Abi Waqas juga mendapat gelaran “Singa yang menyembunyikan kukunya.”

Kisah Sa’ad Abi Waqas memang menarik kerana keimanan beliau setelah memeluk Islam serta kehebatan beliau setelah diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam dalam perang Al Qadisiyah yang membawa kejatuhan kerajaan Parsi.

Sa’ad Abi Waqas berasal dari keluarga Quraisy yang terhormat itu menerima bantahan keras daripada ibunya sendiri apabila beliau memeluk Islam. Ibunya menentang dengan pelbagai cara sehingga sanggup melakukan mogok lapar dengan harapan anak kesayangannya berubah pendirian. Namun Sa’ad Abi Waqas dengan tegas berkata.

“Wahai ibuku, demi Allah, jika ibu mempunyai seratus nyawa dan nyawa itu hilang satu demi satu aku tidak akan meninggalkan agamaku ini.”

Kata-katanya itu membuat ibunya kecewa dan marah lalu menghalau Sa’ad keluar dari rumah hanya dengan sehelai sepinggang. Kemudian Sa’ad Abi Waqas ikut berhijrah ke Madinah.



Antara kelebihan Sa’ad Abi Waqas doanya makbul dan apabila memanah tepat mengenai sasaran. Ini kerana Nabi Muhamad saw pernah mendoakannya.

“Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.”

Pada suatu hari ketika Rasulullah saw sedang berbual dengan para sahabat tiba-tiba baginda berkata, “Sekarang akan muncul di hadapan kamu seorang lelaki ahli syurga.”

Tidak lama kemudian muncul Sa’ad Abi Waqas. Mereka bertanya apakah ibadat yang dilakukannya sehingga mendapat kedudukan yang tinggi.

Kata Sa’ad Abi Waqas, “Saya beribadat seperti kamu juga. Hanya saya tidak pernah menaruh perasaan dendam atau berniat jahat terhadap seorang pun di antara kaum muslimin.”

Semasa Perang Badar Sa’ad Abi Waqas bertempur dengan gagah berani. Begitu juga dalam Perang Uhud beliau antara sahabat yang sentiasa berada di sisi Rasulullah serta melindunginya.

“Panahlah hai Sa’ad, ibu bapaku jadi jaminannya,” kata Rasulullah sambil menghulurklan anak-anak panah kepada Sa’ad Abi Waqas.

Sa'ad Abi Waqas juga mendapat gelaran “Singa yang menyembunyikan kukunya.”Kerana itu beliau diberi tanggung jawab oleh khalifah Umar al Khattab memimpin 30 ribu tentera Islam bagi membantu pasukan yang sedang bertempur dengan tentera Parsi.

Sebelum itu khalifah mendapat berita tentera Islam di bawah pimpinan panglima al Muthanna mengalami kekalahan dalam perang jambatan yang mana 4 ribu orang sudah syahid.

Pasukan tentera Islam yang dipinpin Sa’ad Abi Waqas akhirnya bertempur dengan tentera Parsi dalam Perang Al Qadisiyah. Akhirnya tentera Parsi mengaku kalah setelah ketua mereka Rustam terbunuh.

Kekalahan dalam Perang Al Qadisiyah menyebabkan maharaja Parsi mengerahkan seluruh kekuatan tentera bagi menghadapi tentera Islam. Kedua pasukan bertemu di Iraq dan mereka dipisahkan sungai Tigris.

Sa’ad Abi Waqas pun memohon doa kemudian menyuruh tenteranya membaca Hasbunallah wa ni’mal wakil yang ertinya “cukuplah bagi kita Allah dan Dia sebaik pemimpin” lalu memerintahkan tenteranya menyeberang sungai Tigris.

Dengan izin Allah, mereka meredah air sungai itu bagaikan berjalan di atas daratan sehinga ke semuanya tentera Islam berjaya menyeberangi dengan selamat. Melihat keajaipan yang luar biasa itu menyebabkan tentera Parsi lari bertempiaran….

Sa’ad Abi Waqas dilantik menjadi ganenor Kufah. Apabila timbul fitnah terhadapnya maka Khalifah Umar al Khattab menggantikannya dengan orang lain. Namun kepercayaan khalifah Umar terhadap Sa’ad Abi Waqas tidak berubah sehingga mahu melantiknya menjadi penggantinya sebagai khalifah tetapi ditolak oleh Sa’ad Abi Waqas.

Sebelum meninggal dunia Khalifah Umar berkata. “Aku bersetuju jika Sa’ad yang dipilih oleh majlis syura menjadi khalifah. Jika orang lain maka aku berpesan supaya khalifah selepas aku melantik Sa’ad untuk satu jawatan. Sesungguhnya aku memecat dia sebagai gabenor Kufah bukan kerana dia lalai atau kianat.”

Apabila majlis syura bersidang Sa’ad Abi Waqas menarik diri dari pencalunan sebagai khalifah. Saidina Uthman melantik Sa’ad Abi Waqas sebagai gabenor Kufah. Sekali lagi beliau difitnah sehingga beliau berdoa.

“Ya Allah, jika orang yang menfitnahku itu kerana riyak, dusta dan ingin mendapat nama maka butakanlah matanya dan biarkanlah dia menerima balasan fitnah.”

Doa Sa’ad Abi waqas dimakbulkan Tuhan. Orang yang menfitnah itu matanya menjadi buta.

Apabila berlaku perbalahan antara pengikut Saidina Ali dengan Muawiyah maka Sa’ad Abi Waqas bersikap berkecuali dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Ketika Khalifah Muawiyah berkuasa beliau mahu melantik Sa’ad Abi Waqas menjadi ketua panglimanya tetapi dengan tegas menolaknya dengan berkata.

“Apabila aku menghunus pedang jika dipukulkan kepada orang mukmin maka pedangku tidak melukai mereka tetapi jika dipukulkan kepada musuh Allah mereka akan terpotong.”

Sa'ad Abi Waqas lelaki Muhajirin yang terakhir meninggal dunia dan beliau berpesan.

“Kafani aku dengan jubah yang aku pakai semasa Perang Badar. Aku sengaja menyimpannya untuk keperluan tersebut.”.
Baca lagi...

06 Julai 2012

HADITH PALSU KELEBIHAN TARAWIH



SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.


Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.


Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.



Petikan dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Baca lagi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...