09 September 2011

Hantaran dan Mahr : Nilai Seorang Wanita?


Baru-baru ini tersebar dalam ruangan FACEBOOK berkaitan dengan kenyataan seperti di bawah:








Nilai Hantaran Kahwin Mengikut Harga Purata Terkini dan Status Pelajaran di Seluruh Semenanjung :-
UPSR,PMR/SRP : RM1,000 - RM3,000
SPM : RM3,000 - RM8,000
STPM/DIPLOMA : RM8,000 - RM12,000
DEGREE : RM12,000 - RM15,000
2ND DEGREE/MASTER : RM15,000 - RM20,000
PHD : RM20,000 - RM30,000



Islam tidak menentukan kadar minima atau maxima mahr seseorang, malah para fuqaha’ menjelaskan bahawa mahr ini janganlah mahal sehingga menjadikan halangan kepada kedua-dua pengantin untuk melangsungkan pernikahan mereka. Mahr yang paling baik adalah paling murah nilainya. Sabda Nabi :-

خير الصداق أيسره
“Sebaik-baik mahr adalah yang paling mudah (memadai)” [Hadith Riwayat al-Baihaqi]


“Kebanyakkan wanita yang berkat pernikahannya adalah yang mudah mahrnya” [Hadith Riwayat al-Hakim. Al-hakim mengatakan bahawa ia sahih menurut syarat Muslim]

Ali ra. sendiri menikahi Fatimah ra dengan maskahwinnya perisai perang. Berkata Ali ra :

تَزَوَّجْتُ فَاطِمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، ابْنِ بِي – وهو الدخول بالزوجة - . قَالَ : أَعْطِهَا شَيْئًا . قُلْتُ : مَا عِنْدِي مِنْ شَيْءٍ . قَالَ : فَأَيْنَ دِرْعُكَ الْحُطَمِيَّةُ ؟ قُلْتُ : هِيَ عِنْدِي . قَالَ : فَأَعْطِهَا إِيَّاهُ

“Aku telah berkahwin dengan Fatimah ra. dan berkata : Ya Rasulullah, biarkan ku teruskan pernikahan. Baginda berkata : berikanku sesuatu. Aku berkata : Aku tidak mempunyai apa-apa. Baginda berkata : Dimana perisai Hutami anda? Aku berkata : Aku ada bersamaku. Baginda berkata : Bagikan kepadanya”. [Hadith Riwayat al-Nasaa’i.]



Jadi, bagaimana isu ini dilihat dalam Islam? Tidak dinafikan bahawa keperluan belanja yang tinggi berdasarkan nilai barang-barang yang tinggi di negara kita jika kita hendak mengadakan walimah (majlis kenduri kahwin).

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap walimah?

Walimah hendaklah dianjurkan oleh suami, kerana suami disunatkan melakukannya. Sabda Nabi kepada Abdul Rahman bin Auf kepada perkahwinan beliau :

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
“Moga Allah memberkati kamu. Berilah walimah / kenduri walaupun seekor kambing” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].


Menurut Syiekh Utsaimin hadith ini menunjukkan suami dipertanggung-jawabkan mengadakan walimah atau kenduri, dan tidak ditujukan kepada Bapa mertua. Menurut beliau lagi, keperluan kepada keberkatan adalah lebih kepada pihak suami berbandig dari pihak isteri, kerana didalam kebanyakkan keadaan, lelaki yang mencari wanita. [al-Sharh al-Mumthi’, 12/321]

Namum demikian, mengadakan walimah ini bukannya wajib, ia adalah sunnat yang dituntut. Ia hendaklah dilakukan dengan kemampuan dari pihak lelaki, dan bukan luar dari kemampuannya. Agama Islam telah menjelaskan bahawa perkahwinan yang barakah adalah yang paling sederhana. Ini dijelaskan lagi didalam sabda Nabi :-

خير النكاح أيسره
“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah” [Hadith Riwayat Ibn Hibban]

Walimah tidak semestinya dilakukan dengan seekor kambing sahaja, tetapi bersesuaian dengan kemampuan suami. Nabi pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji bercampur keju dan tepung melalui sumbangan para sahabat yang hadir, sebagaimana didalam hadith riwayat Bukhari

Hadith seruan kepada walimah ini menunjukkan satu walimah sahaja yang menjadi tanggung jawab suami, dan jika dibantu oleh isterinya, maka ia diperbolehkan. Akan tetapi, jika ada perselisihan pihak mana yang harus melakukan walimah, maka dimasa itu, suami bertanggung jawab mengadakan walimah pertamanya. Walimah yang seterusnya boleh dibiayai oleh mana-mana keluarga yang ingin melakukannya.

Bagaimana pula dengan suasana sekeliling kita yang mana masyarakat kini terlalu memandang nilai seorang wanita itu pada hantarannya? Malah ramai ibubapa takut hendak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. hanya kerana takut pada umpatan masyarakat sekeliling..


Budaya hantaran yang tinggi ini terlalu sukar untuk dihapuskan secara total didalam masyarakat Islam masakini. Budaya ini bukan sahaja berlaku dikalangan orang Melayu, malah rata-rata menjadi satu fenomena dan kemegahan setengah-setengah keluarga Islam. Mahr yang tinggi, Hadiah/Hantaran yang mahal, walimah yang besar-besar seolah-olah menjadikan wanita itu sebagai bahan dagangan sebuah produk!

Fenomena mengadakan walimah dengan menjemput orang-orang kenamaan juga kriktik oleh Islam. Sabda Nabi :-

شر الطعام طعام الوليمة : يدعى لها الأغنياء ويترك الفقراء
“Seburuk-buruk makanan adakah makanan dari walimah, dimana orang-orang kaya dijemput dan mereka yang miskin di tinggalkan” [Hadith Riwayat Bukhari].

Untuk menghentikan budaya ini, kita boleh mulakan dengan generasi kita yang menyedari hakikat sebenar realiti sekarang. Jika tidak boleh kita mengubah apa yang sedang berlaku, kita ubah apa yang boleh kita lakukan untuk generasi yang akan datang. Kita aplikasikan sunnah ini secara menyeluruh, dan bukan hanya didalam bab-bab munakahat sahaja. Penerapan Islam ini perlu dilakukan pada peringkat akar-umbinya. Sebagai contoh, semua orang tahu bahawa pembaziran itu adalah amalan Syaitan, akan tetapi berapa ramai yang menghayati hakikat ini? Wallahu'alam.
Baca lagi...

Mudahkah Tugas Seorang Pensyarah?




SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan ketika menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan perasaan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi.

Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah menjawat jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain di universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya rasa saya berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun Kementerian Pengajian Tinggi.

Bulan April adalah bulan yang paling ditakuti oleh para pensyarah universiti IPTA kerana penilaian prestasi (KPI) mereka akan dinilai. Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan "rangking dunia," maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat markah di bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal bertaraf antarabangsa (ISI).

Masalah ini kian parah apabila jurnal ISI ini turut menjadi syarat wajib untuk permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah yang menentukan pengiktirafan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa pengiktirafan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh, seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam Malaysia yang lain.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang kakitangan awam Malaysia, KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih malang lagi nasib ini menimpa kepada pensyarah yang berada dalam bidang sains sosial yang kajian dan penyelidikan mereka benar-benar terbatas kepada mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah, sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak pernah dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah.

Jika hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak KPT ialah member pengiktirafan kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh university mahupun institusi tempatan yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada pada bawah paras "malas" atau "sakit" sedangkan mereka mempunyai dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya.

Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu.

Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingakan dengan rakanrakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (prauniversiti), dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44.

Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaiktaraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional.

Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan impian Malaysia untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak pernah dihargai. Inilah kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB Dato' Khalid Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan pensyarah IPTA berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang begitu bersungguhsungguh membela nasib guru.

Sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang pensyarah pelawat di Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku. Penilaian prestasi (KPI) seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak mana mereka menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.

Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf ISI hanya satu hambatan penerbitan untuk tujuan mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna, pensyarah yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat dan mereka amat dihormati jiran tetangga atau masyarakat setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin mengejar penerbitan ISI, mereka seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan atau menjadi kera sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar "rangking" dunia universiti, adakah ini yang diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar bahawa untuk menandingi atau menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah. Kita sepatutnya berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan tergila-gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan kepakaran yang ada.

Universiti of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil ketiga terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok ke-100 dalam "rangking" dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun Melayu Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Akademi Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian sebaliknya yang difikirkan ialah "kegilaan" mengejar "rangking" dunia tanpa pernah mengukur pakaian pada badan sendiri.

Kepada KPT, khususnya YAB Dato' Khalid Nordin, fikirkanlah kebajikan dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama university tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke university swasta (IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat.

Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang setara upahnya dengan guru jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu lebih berat? Beberapa bulan lalu, dalam ruangan "Surat Pembaca" Berita Harian, jawapan oleh Unit Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang Profesor Pencen amat melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai di KPT hanya memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah seorang pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan professor atau pengarah di universiti?

Apakah ertinya pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh universiti? Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada university mempunyai kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?

Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara.

Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPT berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya mengarifi falsafah Melayu "kera di hutan disusukan; anak mati dalam pelukan" perlu difahami sebaik-baiknya.

Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah warga Negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan apaapa dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi. Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini.

PROFESOR JUSA B,
Kuala Lumpur

~dipetik dari surat pembaca sebuah akhbar
Baca lagi...

05 September 2011

Ape Itu Istidraj?




Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a. w. bersabda : “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang derhaka dan sering membuat maksiat sering terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah daripada Allah dan menyangka Allah kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya(ada juga sesetengah kitab mengatakan masuk melalui telinga).

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang lenang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita buru, juga bukan miskin yang kita tagih.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.
Baca lagi...

03 September 2011

Usah dibuka aib sendiri




Rasulullah s.a.w pernah menyatakan, “Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali yang menyatakan secara terang-terangan (telah melakukan dosa). Termasuk terang-terangan ialah seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, sehingga waktu pagi rahsianya ditutupi oleh Allah, (tetapi) waktu paginya dia berkata: Hai Si anu, semalam aku telah melakukan itu dan ini (dosa), sedangkan Allah menutup perbuatannya (dari pengetahuan manusia) sepanjang malam itu. Sepanjang malam itu Allah menutup rahsianya (perbuatan dosa), tetapi waktu pagi dia membuka apa yang telah ditutup oleh Allah.”

Di dalam Tafsir Al-Azhar, karangan Prof Dr. Hamka, diceritakan pada zaman permerintahan Umar Al-Khattab r.a. terdapat seorang wanita yang telah berzina dan telah mencemarkan nama baik diri sendiri dan abangnya. Beliau merasa kecewa dengan kehidupan dan bertekad untuk melakukan dosa yang lebih besar lagi, iaitu membunuh diri.

Wanita tersebut cuba memotong urat lehernya dengan sebilah pisau. Namun beliau sempat diselamatkan oleh abangnya, lalu dirawati. Setelah sembuh, beliau dipindahkan ke rumah bapa saudara mereka di Madinah. Di sanalah beliau mula memperbaiki kehidupannya dengan bertaubat dan taat beribadat sehingga menjadi seorang wanita yang warak.

Tidak lama kemudian, beliau telah dipinang. Bapa saudaranya berasa gelisah lalu berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab r.a. untuk mengadu. Mana mungkin seorang wanita yang pernah terlanjur berkahwin sedangkan perkara itu telah dinyatakan dengan terang dalam surah An-Nur ayat 3, “Lelaki yang berzina tidak dinikahi melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu tidak dinikahi melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Demikian itu terlarang kepada orang yang beriman.”

Bapa saudara wanita itu juga menyatakan kepada Umar tiada sesiapa yang mengetahui hal ini, hanya kepada Umar sahaja perkara ini dirujuk.

Lalu berkata Umar r.a., “Jangan engkau sekali-kali membuka rahsia ini kepada orang lain. Tutup mulutmu rapat-rapat. Sekiranya engkau berani menceritakan, nescaya hukuman ke atasmu amat berat. Sekarang, anak saudaramu itu wajib dikahwinkan secara layaknya perkahwinan orang-orang terhormat.”

Penasihat Umar ketika itu, Ubay Bin Ka’ab r.a. juga berada di sisi dan mengetahui hal berkenaan. Ubay r.a. juga telah dipesan supaya merahsiakan hal berkenaan. Lalu berkata Ubay r.a., “Keputusanmu amat tepat wahai Amiril Mukminin, sedangkan orang yang musyrik lagi diterima taubatnya …”
Baca lagi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...